Friday, December 12, 2014

Ikhwan Muslimun dan Negara Madani #1

Ikhwan Muslimun dan Negara Madani #1
oleh Dr 'Esham 'Eryan
Siri Menghayati Malaysia Menuju Negara Rahmah

* * * * * *

Latar Belakang Konsep dan Idea Ikhwan Muslimin berkenaan Sistem Kenegaraan

Titik tolak kepada pemikiran Ikhwan Muslimin terhadap masyarakat dan sistem perundangan dan Negara tidak lain tidak bukan adalah kepercayaan mereka bahawa tiada di dunia ini sebuah sistem yang mampu membangun ummah dengan sistem, asas-asas perhubungan sosial dan kemanusiaan sebagaimana sistem yang ditawarkan oleh Islam.

Ikhwan Muslimin percaya, sesungguhnya Allah s.w.t ketika mewahyukan al-Quran dan menuntut hamba Nya menuruti Muhammad s.a.w justeru menganugerahi mereka Islam, Allah s.w.t telah mengatur setiap inci yang menjadi asas dan konsep untuk segenap kehidupan ummah serta pembangunannya dan kesejahteraannya. Ia berpaksikan firman Allah s.w.t, al a’raaf: 157 [Risalah Ke Arah Mana Kami Menyeru Manusia]

Islam telah mencetak peribadi ummah dengan teori dan praktisnya pada sepanjang zaman, Islam membentuk identiti mereka dan membina asas-asas perundangan jiwa, akal dan jasmani. Seluruh undang-undang yang dinyatakan tersebut digariskan secara langsung seterusnya menjiwai generasi demi generasi ummah ini, ia memberi kejelasan antara haq dan batil, antara kebaikan dan kejahatan, juga antara kecantikan dan keburukan.

Sejarah telah membuktikan bahawa asas-asas dan perundangan yang dibawa oleh Islam itu telah berdaya membina sebuah Negara madani, tamadun manusia yang Islami telah menerangi zaman demi zaman dengan Negara yang benar, adil dan berperundangan. Masyarakat bukan Islam menikmati kesaksamaan dalam penanggungjawaban dan hak, mereka hidup dalam kebebasan memilih agama. Masyarakat Islam dan seluruh warganegara yang lain berperanan membangunkan Negara Islam dengan bersungguh-sungguh dengan menterjemahkan apa yang ditawarkan oleh Islam itu sendiri. Mereka menterjemahkan ia di atas pentas realiti tanpa mengurangkan walau sedikitpun nilai-nilai yang dibawa Islam, sebagaimana yang berlaku pada beberapa tempoh gelap yang menyaksikan penyelewengan terhadap nilai-nilai Islam dari pihak pemimpin-pemimpin dalam pelbagai aspek khususnya dalam aspek syura (demokrasi).

“Islam adalah sistem yang menyeluruh ..” Risalah Ta’alim. Inilah yang diimani dan diserukan oleh Ikhwan Muslimin dengan mencontohi Rasulullah s.a.w dan para salaf as-soleh r.anhum. Kami juga beriman bahawa Islam menolak pendewaan, Islam tidak mengiktiraf monopoli agama dan memaksakan ia kepada warga, meniadakan pintu yang menghubung antara manusia dengan Allah s.w.t kecuali melalui pintunya. Bahkan sebenarnya, setiap Muslim mewakili agamanya, mereka tidak memerlukan perantara antara dirinya dengan tuhannya.

Ilmuan-ilmuan agama di dalam Islam dan para fuqaha’ dirujuk sebagaimana ilmu-ilmu yang lain yang dirujuk kepada pakarnya. Al-Furqan:59, Fatir:14, an-Nahl:43, an-Nisa’:83.

Mana-mana muslim berhak untuk menjadi seorang ‘alim dalam agamanya, jika dia mahu. Iaitulah dengan belajar dan mendalaminya. Ia tidak diperoleh dengan warisan atau gelaran. Islam menolak pembahagian strata manusia kepada ataupun kelompok-kelompok kepada kelompok beragama dan kelompok tidak beragama. Semuanya wajib menjadi dan berusaha taat kepada Allah s.w.t dan berkhidmat kepada manusia.

“Syari’ah Islamiah adalah sebuah syari’ah yang menyeluruh, ia hadir mengatur perhubungan manusia dengan tuhannya, perhubungannya dengan dirinya sendiri , sesama keluarganya, sesama masyarakat, hubungannya dengan ummah, hubungannya dengan manusia seluruhnya, bahkan hubungannya dengan ciptaan-ciptaan yang luas di sekitarnya”

Sebagaimana syari’ah adalah kefahaman-kefahaman serta nas-nas, tujuan-tujuan dan kaedah-kaedah, pembinaan menyeluruh meletakkan sebuah asas membimbing kehidupan dengan kemanusiaan, tanpa tekanan dan keterlampauan. Syari’ah bertujuan membangun sebuah masyarakat yang adil dan ihsan dalam segenap medan; kemasyarakatan, politik dan ekonomi. Para fuqaha’ menyebutnya dengan lidah mereka sebagai; mengambil kebaikan dan menolak keburukan. Syari’ah terpelihara oleh prinsip-prinsip dan ketetapan-ketetapannya.

Umum mengetahui bahawa pintu ijtihad di dalam Islam terbuka, dengan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutannya yang jelas. Tiada sesiapa yang berhak menutup pintu salah satu dari sumber pensyari’atan ini yang telah Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w buka. Ia bahkan dikira sebagai syarat daya kuat ummah. Maka ummah wajib mengusahakan alatan-alatan di sekolah dan university untuk melahirkan ulama’-ulama’ yang mujtahid (mampu berijtihad). At-Taubah:122.

Ikhwan Muslimin juga percaya, bahawa keadilan adalah asas dalam pembinaan sebuah tamadun. Maka mustahil sekali sebuah peradaban untuk berdiri, mustahil terhasil sebuah pembangunan kecuali dengan naungan keadilan. Sebuah Negara tidak akan stabil dan mana-mana kekuasaan tidak akan dihormati kecuali dengan keadilan. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika menurunkan al-Quran, dan mengutuskan para utusan dengan penjelasan dan hidayah tidak lain adalah untuk manusia itu terpandu oleh al-qisth yakni keadilan. Mereka memerintah dengan keadilan. Keadilan itu di sisi lain, adalah sebuah tanda Syari’ah Islam. Syari’at yang hadir untuk membentuk sebuah masyarakat yang adil, saksama sesame seluruh manusia, baik pemerintah mahupun rakyat, baik Muslim mahupun bukan Muslim.

Keadilan tidak terhasil kecuali dengan inti kebebasan, kejaminan, kesaksamaan dan kerealisasian sebuah syura (demokrasi), sebagaimana ia terhasil dengan penstabilan antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat. Dengan ini, kelestarian sebuah kekuasaan itu terjamin dan tidak terpesong kepada penentangan ke atas warga dan kepentingan-kepentingannya. Ikhwan Muslimin melihat, bahawa Allah s.w.t mencipta manusia dengan kebebasan dalam memilih, Allah s.w.t bahkan mempersiapkan manusia dengan kemampuan untuk memilih apa yang mahu diprinsipkan atau apa yang mahu dilakukan. 

“Maka kebebasan adalah fitrah yang tertonjol dalam diri manusia..” Maka, serangan ke atas kebebasan manusia atau menghukum kebebasannya dikira sebagai mencabar kehendak Allah s.w.t yang menuntut penguasa agar memelihara kebebasan warganya, termasuklah membentuk sebuah iklim yang mendorong warga untuk mempertahankan kebebasannya dari segenap tekanan sosial.

Prinsip seterusnya yang dikira sebagai asas dalam pembinaan masyarakat pada hemat Ikhwan Muslimin adalah kesaksamaan yang bertunjangkan kesatuan asas-asas kemanusiaan. Manusia seluruhnya adalah dari Adam dan Adam itu berasal dari tanah. Lemahnya dan kuatnya, kayanya dan miskinnya, kuasaannya dan dikuasainya berada di atas sebuah landasan kesaksamaan serta kesamarataan. Mereka tidak dibezakan hanya kerana bangsa, warna, profesyen, taraf kemasyarakatan atau apa sahaja sebabnya.

“Sesungguhnya salah satu prinsip syar’i dan ketamadunan kami juga adalah hikmah (kebijakan) itu adalah barang hilang milik kami, di mana kami mendapatinya maka kami berhak ke atasnya .. “ jika ia bermisikan kebaikan buat kemanusiaan, Ikhwan Muslimin amat prihatin untuk mengambil manfaat dari percubaan-percubaan pihak lain. Maka benarlah kebijakan itu barang hilang mu’min, di mana kebijakan itu dijumpai maka mu’minlah paling berhak untuk memilikinya. Hikmah atau kebijakan tersebut tidak dimonopoli oleh sesiapapun, bukan milik sebarang ummah ataupun sebarang generasi. Sebab itulah Allah s.w.t menyeru para mu’min agar bermusafir di atas muka bumi dan memerhatikannya. Oleh sebab itulah Ikhwan Muslimin menolak dakwaan sebahagian gerakan atau individu Islam bahawa praktis-praktis sepanjang zaman dalam aspek politik dan ekonomi tidak perlu dirujuk oleh Islam, atau mereka mendakwa bahawa Allah s.w.t telah mencukupi al-Quran dengan segalanya dan tidak pernah kurang. Ikhwan Muslimin berpandangan bahawa tidaklah wajar penolakan secara mutlak dan tidak juga penerimaan secara mutlak terhadap sesuatu idea atau teori dalam pembaikan politik, ekonomi dan sosial. Hal ini kerana, setiap sesuatu yang berorientasikan kebaikan ummah dikawal dengan timbangan syara’. Umar r.a telah memakai sistem kerajaan utama pada zamannya, kerana Umar r.a dapati ia tidak bertentangan dengan syara’, bahkan Umar r.a mengambil manfaat darinya dengan dikawal oleh kawalan-kawalan syar’I dan masalih yang syar’i.

Dari aspek tersebut, sudah jelaslah bahawa Ikhwan Muslimin berpegang kepada asas-asas pensyari’atan Islam iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya jika ditatang dengan utuh, ummah selamanya tidak akan sesat. Wajiblah sistem Islam itu merujuk langsung kepada asas-asas yang suci tersebut, juga memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat, tabi’in dari kalangan salaf as-soleh r.anhum. Kita terus berpusat kepada persempadanan yang rabbani ini, agar kita tidak mengikat diri kita dengan tuntutan selain dari tuntutan yang Allah s.w.t telah tetapkan. Justeru kita tidak mewarnai zaman ini dengan warna yang tidak seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Islam, adalah agama buat manusia seluruhnya.

No comments: