Friday, December 12, 2014

Ikhwan Muslimun dan Negara Madani #1

Ikhwan Muslimun dan Negara Madani #1
oleh Dr 'Esham 'Eryan
Siri Menghayati Malaysia Menuju Negara Rahmah

* * * * * *

Latar Belakang Konsep dan Idea Ikhwan Muslimin berkenaan Sistem Kenegaraan

Titik tolak kepada pemikiran Ikhwan Muslimin terhadap masyarakat dan sistem perundangan dan Negara tidak lain tidak bukan adalah kepercayaan mereka bahawa tiada di dunia ini sebuah sistem yang mampu membangun ummah dengan sistem, asas-asas perhubungan sosial dan kemanusiaan sebagaimana sistem yang ditawarkan oleh Islam.

Ikhwan Muslimin percaya, sesungguhnya Allah s.w.t ketika mewahyukan al-Quran dan menuntut hamba Nya menuruti Muhammad s.a.w justeru menganugerahi mereka Islam, Allah s.w.t telah mengatur setiap inci yang menjadi asas dan konsep untuk segenap kehidupan ummah serta pembangunannya dan kesejahteraannya. Ia berpaksikan firman Allah s.w.t, al a’raaf: 157 [Risalah Ke Arah Mana Kami Menyeru Manusia]

Islam telah mencetak peribadi ummah dengan teori dan praktisnya pada sepanjang zaman, Islam membentuk identiti mereka dan membina asas-asas perundangan jiwa, akal dan jasmani. Seluruh undang-undang yang dinyatakan tersebut digariskan secara langsung seterusnya menjiwai generasi demi generasi ummah ini, ia memberi kejelasan antara haq dan batil, antara kebaikan dan kejahatan, juga antara kecantikan dan keburukan.

Sejarah telah membuktikan bahawa asas-asas dan perundangan yang dibawa oleh Islam itu telah berdaya membina sebuah Negara madani, tamadun manusia yang Islami telah menerangi zaman demi zaman dengan Negara yang benar, adil dan berperundangan. Masyarakat bukan Islam menikmati kesaksamaan dalam penanggungjawaban dan hak, mereka hidup dalam kebebasan memilih agama. Masyarakat Islam dan seluruh warganegara yang lain berperanan membangunkan Negara Islam dengan bersungguh-sungguh dengan menterjemahkan apa yang ditawarkan oleh Islam itu sendiri. Mereka menterjemahkan ia di atas pentas realiti tanpa mengurangkan walau sedikitpun nilai-nilai yang dibawa Islam, sebagaimana yang berlaku pada beberapa tempoh gelap yang menyaksikan penyelewengan terhadap nilai-nilai Islam dari pihak pemimpin-pemimpin dalam pelbagai aspek khususnya dalam aspek syura (demokrasi).

“Islam adalah sistem yang menyeluruh ..” Risalah Ta’alim. Inilah yang diimani dan diserukan oleh Ikhwan Muslimin dengan mencontohi Rasulullah s.a.w dan para salaf as-soleh r.anhum. Kami juga beriman bahawa Islam menolak pendewaan, Islam tidak mengiktiraf monopoli agama dan memaksakan ia kepada warga, meniadakan pintu yang menghubung antara manusia dengan Allah s.w.t kecuali melalui pintunya. Bahkan sebenarnya, setiap Muslim mewakili agamanya, mereka tidak memerlukan perantara antara dirinya dengan tuhannya.

Ilmuan-ilmuan agama di dalam Islam dan para fuqaha’ dirujuk sebagaimana ilmu-ilmu yang lain yang dirujuk kepada pakarnya. Al-Furqan:59, Fatir:14, an-Nahl:43, an-Nisa’:83.

Mana-mana muslim berhak untuk menjadi seorang ‘alim dalam agamanya, jika dia mahu. Iaitulah dengan belajar dan mendalaminya. Ia tidak diperoleh dengan warisan atau gelaran. Islam menolak pembahagian strata manusia kepada ataupun kelompok-kelompok kepada kelompok beragama dan kelompok tidak beragama. Semuanya wajib menjadi dan berusaha taat kepada Allah s.w.t dan berkhidmat kepada manusia.

“Syari’ah Islamiah adalah sebuah syari’ah yang menyeluruh, ia hadir mengatur perhubungan manusia dengan tuhannya, perhubungannya dengan dirinya sendiri , sesama keluarganya, sesama masyarakat, hubungannya dengan ummah, hubungannya dengan manusia seluruhnya, bahkan hubungannya dengan ciptaan-ciptaan yang luas di sekitarnya”

Sebagaimana syari’ah adalah kefahaman-kefahaman serta nas-nas, tujuan-tujuan dan kaedah-kaedah, pembinaan menyeluruh meletakkan sebuah asas membimbing kehidupan dengan kemanusiaan, tanpa tekanan dan keterlampauan. Syari’ah bertujuan membangun sebuah masyarakat yang adil dan ihsan dalam segenap medan; kemasyarakatan, politik dan ekonomi. Para fuqaha’ menyebutnya dengan lidah mereka sebagai; mengambil kebaikan dan menolak keburukan. Syari’ah terpelihara oleh prinsip-prinsip dan ketetapan-ketetapannya.

Umum mengetahui bahawa pintu ijtihad di dalam Islam terbuka, dengan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutannya yang jelas. Tiada sesiapa yang berhak menutup pintu salah satu dari sumber pensyari’atan ini yang telah Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w buka. Ia bahkan dikira sebagai syarat daya kuat ummah. Maka ummah wajib mengusahakan alatan-alatan di sekolah dan university untuk melahirkan ulama’-ulama’ yang mujtahid (mampu berijtihad). At-Taubah:122.

Ikhwan Muslimin juga percaya, bahawa keadilan adalah asas dalam pembinaan sebuah tamadun. Maka mustahil sekali sebuah peradaban untuk berdiri, mustahil terhasil sebuah pembangunan kecuali dengan naungan keadilan. Sebuah Negara tidak akan stabil dan mana-mana kekuasaan tidak akan dihormati kecuali dengan keadilan. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika menurunkan al-Quran, dan mengutuskan para utusan dengan penjelasan dan hidayah tidak lain adalah untuk manusia itu terpandu oleh al-qisth yakni keadilan. Mereka memerintah dengan keadilan. Keadilan itu di sisi lain, adalah sebuah tanda Syari’ah Islam. Syari’at yang hadir untuk membentuk sebuah masyarakat yang adil, saksama sesame seluruh manusia, baik pemerintah mahupun rakyat, baik Muslim mahupun bukan Muslim.

Keadilan tidak terhasil kecuali dengan inti kebebasan, kejaminan, kesaksamaan dan kerealisasian sebuah syura (demokrasi), sebagaimana ia terhasil dengan penstabilan antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat. Dengan ini, kelestarian sebuah kekuasaan itu terjamin dan tidak terpesong kepada penentangan ke atas warga dan kepentingan-kepentingannya. Ikhwan Muslimin melihat, bahawa Allah s.w.t mencipta manusia dengan kebebasan dalam memilih, Allah s.w.t bahkan mempersiapkan manusia dengan kemampuan untuk memilih apa yang mahu diprinsipkan atau apa yang mahu dilakukan. 

“Maka kebebasan adalah fitrah yang tertonjol dalam diri manusia..” Maka, serangan ke atas kebebasan manusia atau menghukum kebebasannya dikira sebagai mencabar kehendak Allah s.w.t yang menuntut penguasa agar memelihara kebebasan warganya, termasuklah membentuk sebuah iklim yang mendorong warga untuk mempertahankan kebebasannya dari segenap tekanan sosial.

Prinsip seterusnya yang dikira sebagai asas dalam pembinaan masyarakat pada hemat Ikhwan Muslimin adalah kesaksamaan yang bertunjangkan kesatuan asas-asas kemanusiaan. Manusia seluruhnya adalah dari Adam dan Adam itu berasal dari tanah. Lemahnya dan kuatnya, kayanya dan miskinnya, kuasaannya dan dikuasainya berada di atas sebuah landasan kesaksamaan serta kesamarataan. Mereka tidak dibezakan hanya kerana bangsa, warna, profesyen, taraf kemasyarakatan atau apa sahaja sebabnya.

“Sesungguhnya salah satu prinsip syar’i dan ketamadunan kami juga adalah hikmah (kebijakan) itu adalah barang hilang milik kami, di mana kami mendapatinya maka kami berhak ke atasnya .. “ jika ia bermisikan kebaikan buat kemanusiaan, Ikhwan Muslimin amat prihatin untuk mengambil manfaat dari percubaan-percubaan pihak lain. Maka benarlah kebijakan itu barang hilang mu’min, di mana kebijakan itu dijumpai maka mu’minlah paling berhak untuk memilikinya. Hikmah atau kebijakan tersebut tidak dimonopoli oleh sesiapapun, bukan milik sebarang ummah ataupun sebarang generasi. Sebab itulah Allah s.w.t menyeru para mu’min agar bermusafir di atas muka bumi dan memerhatikannya. Oleh sebab itulah Ikhwan Muslimin menolak dakwaan sebahagian gerakan atau individu Islam bahawa praktis-praktis sepanjang zaman dalam aspek politik dan ekonomi tidak perlu dirujuk oleh Islam, atau mereka mendakwa bahawa Allah s.w.t telah mencukupi al-Quran dengan segalanya dan tidak pernah kurang. Ikhwan Muslimin berpandangan bahawa tidaklah wajar penolakan secara mutlak dan tidak juga penerimaan secara mutlak terhadap sesuatu idea atau teori dalam pembaikan politik, ekonomi dan sosial. Hal ini kerana, setiap sesuatu yang berorientasikan kebaikan ummah dikawal dengan timbangan syara’. Umar r.a telah memakai sistem kerajaan utama pada zamannya, kerana Umar r.a dapati ia tidak bertentangan dengan syara’, bahkan Umar r.a mengambil manfaat darinya dengan dikawal oleh kawalan-kawalan syar’I dan masalih yang syar’i.

Dari aspek tersebut, sudah jelaslah bahawa Ikhwan Muslimin berpegang kepada asas-asas pensyari’atan Islam iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya jika ditatang dengan utuh, ummah selamanya tidak akan sesat. Wajiblah sistem Islam itu merujuk langsung kepada asas-asas yang suci tersebut, juga memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat, tabi’in dari kalangan salaf as-soleh r.anhum. Kita terus berpusat kepada persempadanan yang rabbani ini, agar kita tidak mengikat diri kita dengan tuntutan selain dari tuntutan yang Allah s.w.t telah tetapkan. Justeru kita tidak mewarnai zaman ini dengan warna yang tidak seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Islam, adalah agama buat manusia seluruhnya.

Sunday, June 22, 2014

المراجع المصطلحات

أولاً: ما كُتِب في الاصطلاحات عامة، فمن ذلك:

1- "التعريفات"؛ للشريف الجرجاني (816 هـ).
2- "الكليات"؛ لأبي البقاء الكفوي (1094 هـ).
3- "كشاف اصطلاحات الفنون"؛ للتهانوي (بعد 1158 هـ).

ثانيًا: ما كتبه المتقدمون في مقدمات مؤلفاتهم الأصولية، فمن ذلك:

1- كتاب "العدة"؛ للقاضي أبي يعلى الحنبلي (458 هـ).
2- كتاب "إحكام الفصول"؛ للباجي (474 هـ).
3- كتاب "التمهيد"؛ لأبي الخطاب الكلوذاني (510 هـ).
4- كتاب "الواضح"؛ لأبي الوفاء ابن عقيل (513 هـ).

ثالثًا: ما كتبه المتقدمون استقلالاً:

1- "الحدود في الأصول"؛ لأبي بكر ابن فورك (406 هـ).
2- "الحدود"؛ للباجي (474 هـ).
3- "الحدود الكلامية والفقهية على رأي أهل السنة الأشعرية"؛ لأبي بكر محمد بن سابق الصقلي (493 هـ).
4- "حدود أصول الفقه"؛ لسعد الدين التفتازاني (792 هـ).
5- "الحدود الأنيقة والتعريفات الدقيقة"؛ لشيخ الإسلام زكريا الأنصاري (926 هـ).

رابعًا: ما كتبه المعاصرون استقلالاً:

1- "معجم مصطلحات أصول الفقه"؛ د. قطب سانو.
2- "الفتح المبين في تعريف مصطلحات الفقهاء والأصوليين"؛ د. محمد إبراهيم الحفناوي.
3- "معجم أصول الفقه"؛ أ. خالد رمضان حسن.
4- "المعجم الجامع للتعريفات الأصولية"؛ د. زياد محمد حميدان.
5- "معجم اصطلاحات أصول الفقه"؛ أ. عبدالمنان الراسخ.
6- "موسوعة مصطلحات أصول الفقه"؛ د. رفيق العجم.
7- "القاموس المبين في اصطلاحات الأصوليين"؛ د. محمود حامد عثمان.
8- "مصطلحات علم أصول الفقه"؛ د. خلف المحمد.


Saturday, June 21, 2014

#TRAVELOG : Tentang Haramain 1

Menyemak kembali air mata haramain, 
Dan esakan Multazam yang menyesak dada, 
Serta, seluruh janji manis dan impian, 
Agar bergelar abdan syakura,


Aku, telah memilih untuk menunaikan umrah dua kali di Jordan. Itu aku azamkan sedari merancang buat kali pertama di semester terawal selaku mahasiswa Jordan. Kemudian menjelang semester terakhir, aku diizinkan menunaikan sekali lagi seperti yang dirancang.

Alhamdulillah, anugerah ini cukup istimewa buat seorang warga Malaysia yang mastautinnya jauh nun di Tenggara Asia. Aku kira, wang yang ditabungi sedari lahir di Tabung Haji hanya dituai mungkin 10 tahun atau 20 tahun dari tarikh aku mencatit entri sederhana ini. 


Imam

Sallahuddin al ayyubi, wirawan pembukaan semula al Quds yang tawadhu' itu terlebih dahulu menjadi imamku dalam ekspedisi Haramain ini. Beliau pergi menemui Allah s.w.t, dan impiannya untuk menjejaki Haramain untuk menunaikan haji tidak tercapai. 

Apapun ulasannya, aku meyakini bahawa Sallahuddin al ayyubi terlebih dahulu telah meneliti sabdaan baginda s.a.w apabila mengatakan, "iman kepada Allah dan Rasul Nya," begitu jawabnya apabila Abu Hurairah mengajukan soal sebaik-baik amal, "kemudian berjihad di jalan Nya, kemudian Haji yang mabrur".

Ah, sungguh aku jadi cemburu dengan riak gagahmu Salahuddin apabila memilih untuk bersakit-sakitan menunggang kuda, kemudian mengerahkan para Muslimin mensucikan kota al Quds dari kotoran tentera Salib.

Ibn Mubarak juga sosok qudwah yang baik, apabila mengirim sebuah makalah teguran buat Fudhayl ibn Iyyadh lewat ibadahnya di Haramain sedang para Muslimin sedang melakukan ar Ribath di persempadanan Syam-Rom. 

Wahai hamba dua tanah haram (Haramain), 
Jika engkau melihat kami, 
nescaya engkau akan dapati, 
Bahawa engkau, sedang bermain main dalam ibadah,

Ia contoh yang ringkas, diriwayatkan agar generasi baru bisa ambil muhasabah. Apakah nilai sebenar sebuah ibadah? atau yang lebih asas, apakah yang memaknai sebuah ibadah? 

Bagaimanakah rupanya sebuah umrah, apabila antara dua umrah diampunkan semua dosa. Bagaimana pula haji mabrur, yang tiada ganjaran padanya kecuali syurga? 


Tanda Ubudiyah dan Istikhlaf

Hamba, frasa paling mendasar dalam suai kenal ciptaan tuhan bergelar manusia ini. Kosa kata menjadi semakin kaya, dengan menyerahkan kepada pencipta untuk memperkenalkan siapakah itu manusia. Allah, dengan sifatnya yang Rabb (pemelihara), Ilah (tunggal) dan Hakim (pemerintah).

Wahai yang memelihara diriku, aku tiba di Haramain selaku hamba Mu. Lantaran itu surah al Fatihah telah menggunakan ar Rahman kemudian ar Rahim, sebagai perkataan pertama di dalam turutan mashafmu  Kemudian lewat perenggan kesyukuran, kepada Rabbal 'alamin.

Begitu kerapnya di peringkat awal Aqidah mendesakkan satu jiwa itu untuk benar benar mengenali tuhannya terlebih dahulu sebagai pemelihara, penyayang, pemberi cahaya, pembimbing. Dengan itu, Muhammad s.a.w menjadi tenang untuk tampil di bukit sofa justeru menawarkan Iman terhadap Allah kepada perkumpulan banu Quraisy. Abu Dzar menjadi rela dibelasah, Bilal dan keluarga Yassir tidak putus berzikir walau dihambat ruh mereka agar keluar dari jasad oleh pembuli bengis, pemuka Quraisy.

Wahai yang tiada persekutuan, aku tiba di Haramain dengan munajat kepada Mu. Hanya kepada Mu, tiada tarikan lelongan jubah murah di Pasaraya Ben Dawud, bukan rangup ayam goreng al Baik, apatah lagi keindahan seni bina Jam Di-Raja yang cukup hampir dengan Masjid al Haram itu. Sungguh langkahku ke sini hanya untuk berkhalwah syu'uriyah dengan Mu. Aku tak punya syahwat kepada keindahan dunia, cukup bersuhbah dengan Mu.

Barangkali, dengan satunya pusat tujuan, berpusatnya sebuah orientasi amal, itulah yang menatijahkan barakah dalam tindakan. Amal menjadi Rabbaniyah, kegagalan menjadi tidak melukakan, musibah menjadi pemangkin syukur, kesusahan menjadi kekuatan baharu. Apakah ada mafsadah, apabila engkau punyai Allah yang sentiasa memberi maslahah kepada hamba Nya? Inilah bekal Ka'b ibn Malik lantas tabah menghadapi pemulauan seraya diampunkan dosanya, ini bekal Mus'ab ibn Umair apabila siap mengetuk sekalian pintu di Madinah agar warganya kembali mentauhidkan pencipta.

Wahai yang memberi keputusan dan hukuman, aku tiba di Haramain untuk mengkoreksi kembali kadar serah diriku pada syari'atmu, untuk menghitung usahaku untuk meningkatkan potensi merealitikan syari'at di muka bumi. Hakimiyah Mu yang sering kali tidak dipeduli adalah impianku, aku tidak memahami sifat aqidah kosong, menghadkan tugas tuhan sebagai kaunter tiket ke syurga dan menghapuskan dosa tetapi culas dalam menyerahkan urusan hidup kepada arahan Nya. 

Aku siap menjadi asbab kembalinya bumi ini di bawah rahmah Hakimiyah Mu, dari urusan peribadi sehingga ketata-negaraan.

Ini adalah kacamata yang aku pakai, dalam timbang semak sebuah amal.


Tentang Haramain

Tentang Haramain, aku mencatitkan nota nota penting yang akan selalu menegurku, pemberi semangat baharu. Aku mesti selalu ingat, bahawa di situlah aku pernah berikrar dan bersumpah setia. 

Tentang Haramain, aku bawakan dalam bentuk lembaran bercatit dari sekadar berada di legar khayalan dan kotak memori. Menggantikan kalamku yang terhad, kelibatku yang terbatas sehingga aku menuju ke temanku yang terutama (rafeeqi al a'la) kelak.

Tentang Haramain, kita belajar memaknai kehidupan.



Sunday, June 15, 2014

#KONGSI : Radio al 3ahd

Kiranya, 

media antara titik lemah yang menghantui mana mana harakah dakwah. Di balik fasih hujahnya, optimis perjuangannya dan tegar pendiriannya, malang sekali imejnya pudar dan tidak bermaya.

Keutuhan fikrahnya digambarkan sebagai runtuhnya wibawa,
Kerukunan tilawahnya digambarkan sebagai ritualnya harakah,
Tadhiyah dan lirik basatah digambarkan sebagai sosok ekstrimis dan fundamentalis.

Semuanya jadi tidak kena.

"Laksana pahlawan hilang senjata", begitu Abu Ammar memberi logik.

Di antara dua tebing, realiti semasa dan ideal, ada sungai harapan dan cita-cita. Semoga generasi baru harakah ini mahir melangkah, mengambil segala asbab sebuah tamkinu al ummah. Agar kedua tebing ini mendekat, menjadi tanah yang bersambung rapat.

Media, anak seni sepatutnya menyedari itu logam yang penuh erti.

Saya temui corong radio berikut pada awal tahun ini, diselenggara oleh sebuah syarikat penyiaran beribu pejabat di Damsyiq. Khabarnya milik Ikhwanu al Muslimin di Syria. 

Fikrahnya terlalu hampir, bahkan bermuara yang sama. al Islam as Somimah di bawah alamat yang ditandakan al Banna lewat penutup risalah ta'alimnya; Basatoh, Tilawah, Solah, Khuluq dan Tadhiyah.

Inilah imej dakwah yang perlu dimainkan oleh media!

Memperkenalkan siaran al 3ahd,


Setakat kini, saya paling meminati siri 'Udzama' 'ala Thoriqi ad (Para Pejuang atas Jalan Dakwah) yang kini sudah memasuki siri ke 5 melalui kisah perjuangan Marwan Hadid. 

Layan!

Monday, June 9, 2014

#BUKWIT : KISAH FEQH 1

I

Ada keindahan yang agung dalam subjek Feqh, dan usulnya.

Ia bukan ilmu teknikal dan terlalu ilmiah, ia bukan semata-mata pembukuan karya warisan berbahasa Arab yang berjilid jilid, tidak pula sekadar menghafal matan-matan, bukan mengsakralkan syuyukh dan kutub turath. Ia tidak juga hak kepada golongan ustaz dan ulama'.

Ia adalah sebuah perjalanan, al maseerah.

Feqh adalah sebuah manifestasi kecintaan para Muslimin sepanjang zaman terhadap risalah yang diwariskan Muhammad s.a.w. Mereka mati kerananya, mereka sudi bujang untuknya, redha berlebam mata dan kejang tangan untuk mendokumentasi faktanya.


II

Makna feqh itu sendiri sudah indah, ia memberi erti faham.

Bahkan sang bayi pun menjadi celaka, jika tidak mengerti beza susu dan cuka. Apatah lagi sang pembawa risalah, yang disematkan di dadanya Aku Berbangsa Muslim. Mereka perlu dihadapan dalam nuansa faham, mereka perlu paling faqih.

Barangkali, itu sebab yang memahami ini mendapat kebaikan khusus dari Rabbnya.

"Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan," begitu sabda Baginda s.a.w, "Allah akan menjadikan dia faqih (faham) tentang agamanya" 

Begitu juga pengertian hadith logam yang memberi penekanan pada predikat "jika dia faham", sebagai prasyarat terpilihnya seseorang baik jahiliyahnya mahupun Islamnya.


III

Seorang faqih, ada petandanya. Ada senarai pembuktian yang boleh menjadi rujukan. Ia difahami dari surah ali Imraan pada ayatnya yang ke sebelas,

"kalian adalah khaira ummah (sebaik baik ummah), yang dibangkitkan kepada sekalian manusia. Mengajak kepada yang dituntut, dan mencegah dari yang dihalang, dan beriman kepada Allah"

Ia tidak lari dari konsep asal kehidupan, sifirnya

Semakin faham tentang Islam, semakin tercapai tujuan hidupnya

dan begitulah sebaliknya, jika dia bukan seorang faqih. lemah nyalaan impiannya, dia tidak manusiawi, dia lupa memberi harapan kepada pendosa, hidupnya berdagingkan al hawa walaupun kulitnya adalah kuotasi sarjana Agama.


IV

Selari dengan petanda manusia, ubudiyah (mengabdi) dan istikhlaf (melaksana tugas pengganti Nabi s.a.w).

Selaksana itulah tanggungjawabnya seorang faqih, dia sedang beribadah melalui kajiannya seraya menjadi khalifah sejati.

Agar risalah ini memberi rahmatnya buat sekalian makhluk, kerana yakin bahawa pemilik risalah ini paling memahami keperluan hambanya, paling tepat timbangannya, paling cekap semakannya.

Setelah ia beraksi, ia lantas fasih berkata; "agar ini menjadi alasanku di hadapan Allah kelak, dan supaya kalian bertaqwa" al a'raf : 164






Thursday, June 5, 2014

#KHATIRAH : SEMARAKKAN RAMADHAN

I

Aiwah, semakin dekat.

Berdoalah selalu, agar kita dipertemukan dengan Ramadhan dalam kesihatan yang menyegarkan. Supaya mampu ditarbiyah dan memberi khidmah dengan maksimum sepanjang Ramadhan.

"Allahumma berkati kami pada Rajab dan Sya'ban, serta temukanlah aku dengan bulan Ramadhan" 

dan sejurus tiba di garis mula Ramadhan, angkatlah tangan dengan rendah diri, "Allahu Akbar, Allahumma jadikan Ramadhan kami bermula dengan penuh iman dan keamanan, dengan kesejahteraan, seiring dengan apa yang Engkau redhai", begitu Ibnu Umar meriwayatkan.



II

Sapalah saudaramu, sahabat sekuliah dan teman teman atas talian. Ingatkan mereka atas ketibaan Ramadhan yang mulia ini. 

Begitulah sunnatan hasanah, yang Baginda s.a.w wariskan pada kita.

bahawa beliau s.a.w, apabila menghampiri Ramadhan lekas-lekas mengingatkan para sahabat r.anhum, "telah tiba bulan Ramadhan, bulan yang mulia al Mubarak, Allah s.w.t telah mewajibkan padanya puasa, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka"

Para salafu as soleh menuruti sunnah yang indah ini, mereka semua bergembira dengan ketibaan Ramadhan.

Jangan ketinggalan untuk menyambut ketibaan Ramadhan!



III

Rasa murung dengan lambakan dosa dan kesilapan? Lemah dan putus asa untuk berubah?

Bukankah rahmat Allah s.w.t mendahului kemarahan Nya?

Mari manfaatkan Ramadhan sebagai sekolah perubahan!

"siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, dengan iman dan mengharapkan pahala maka diampunkan dosanya yang lalu"



IV

Tahukah anda?

bahawa Habib Bourghiba, mantan Presiden Tunisia yang mengasaskan era moden di negara tersebut pernah secara langsung menyatakan bahawa puasa Ramadhan telah melemahkan produktiviti negara. Lantas menyeru kesemua pekerja untuk berbuka puasa, pada Ramadhan 1961!

Hmm,

Tahukah anda?

bahawa perang Badr al Kubra, Pembukaan Andalus, Pembukaan Antakia, Pembukaan as Sanad, Pembukaan as Soqliyah oleh Asad bin Furat, Pertempuran Ain Jalut lantas kemenangan Muslimin ke atas tentera Mongol, Perang Mesir-Israel lewat krisis Sinai, Pembukaan Makkah dan banyak lagi peristiwa perjuangan dan kemenangan Islam berlaku, juga pada bulan Ramadhan!

ini terlalu, BOB.

Wednesday, June 4, 2014

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 6/6

Hujah ke atas pendalilan yang mengharamkan:

1. Sebagaimana ziarah ini memberi sumbangan material kepada Zionis, begitu juga sumbangannya kepada Muslimin. Bahkan, Zionis tidak mendapat manfaat material kecuali pada urusan transaksi kastam yang melibatkan visa sahaja. Baki sumbangan dan urus niaga, memberi manfaat kepada Muslimin terutama yang berada di dalam wilayah Palestin, al Quds khususnya.

Tentang sumbang maknawi, yang berupa sokongan moral dan lain lain tidak boleh diharamkan secara mutlak kepada semua yang menziarahi al Quds. 

Mereka yang menziarahi al Quds tanpa menyokong pencerobohannya oleh Zionis dan tanpa pengawasan, ataupun memasuki al Quds untuk aktiviti kemanusiaan dan bekalan bantuan terkeluar dari senarai yang diharamkan.

Maka adalah lebih sejahtera dengan tidak mengitlakkan pengharaman kepada semua Muslimin, sebaliknya menyatakan beberapa pengecualian seperti yang disebutkan.

Sesiapa sahaja berhak, untuk memasuki al Quds demi mengimarahkannya, bertemu sekalian Muslimin dari segenap penjuru dunia, beri'tikaf di Masjid al Aqsa, bertamu di Ramadhan dan sebagainya.

Hujah balas : 

Apa yang dinyatakan, pertama sekali adalah hujah yang di atas angin tanpa membumi pada realiti. Krisis al Quds tidak boleh dinilai pada sebahagian sudut sahaja tanpa memberi perhatian kepada sudut-sudut yang lain. Ia bukan semata mata isu kewangan atau ekonomi, ia berkaitan dengan strategi perjuangan pembebasan al Aqsa dan mempertahankannya dari penceronohan Zionis.

2. Ziarah Palestin atau al Quds tidaklah dikira sebagai normalisasi atau tunduk kepada penjajah, jika ziarah yang dilakukan tidak memaksudkan yang demikian. Adalah tidak absah untuk memberi satu hukum, kepada dua situasi yang berbeza.

Hujah balas :

isu normalisasi atau tunduk kepada penjajah berada di luar radar al ibadah al mahdhoh (Ibadah yang tulin) seperti solat, haji dan puasa yang banyak merujuk kepada amal Qalbi (isu hati) seperti ikhlas, riya', syirik dan sebagainya. 

Sebaliknya isu ini berkaitan hubungan antara manusia dengan manusia, di bawah pecahan Feqh al Mu'amalat. Ini menuntut kita untuk menyungkurkan akal ke realiti, mendalami hakikat sepak terajang dunia politik dan kemasyarakatan untuk menilai dan memberi keputusan dalam sesebuah masalah. Ziarah, dengan meminta izin dari penjajah tanah Muslimin menggambarkan normalisasi dan persetujuan terhadap apa yang dilakukan oleh penjajah, ia dinamakan at Tatbi'.

3. Aqidah Islam bukan sahaja mengarahkan al barra' (pemutusan) daripada penjajah sahaja bahkan terhadap kafir. Oleh itu, ini memberi makna bahawa ia tidak mengkhususkan hukum terhadap kafir di Palestin sahaja (dalam hal ini, Zionis) bahkan di seluruh dunia. 

Dari itu, kita fahami bahawa interaksi urus niaga antara Muslim dan Kafir adalah dibolehkan.

Hujah balas : Kafir terbahagi kepada tiga golongan, setiap satunya mempunyai kaedah interaksi yang berbeza-beza. Zionis di al Quds termasuk di bawah pengkelasan Kafir Harbi (Kafir yang bersifat memerangi)

Golongan Kafir Harbi inilah yang menjadi subjek pemboikotan. Ini dinyatakan oleh Imam an Nawawi apabila menghurai hadith mu'amalah Nabi s.a.w dengan Yahudi, "tetapi ummat Islam dilarang sama sekali berurus niaga dengan musuh yang sedang memerangi Islam"[1]

4. Ada sebuah persoalan yang sukar, apakah perbezaan menziarahi al Quds dan menziarah Andalusia? Sedang kedua-duanya berada dalam kategori ad Daulatu al Muslimah al Muhtallah (Negara Islam yang terjajah). Mengapa dibolehkan Andalusia, tetapi tidak pada al Quds?

Bagaimana dengan ratusan lagi negara yang wujud pasca penjajahan kolektif yang berlaku selepas perang dunia pertama dan kedua? bagaimana dengan Phattani? France? Ethiopia?

Hujah balas : Palestin, yang ternaung di bawahnya al Quds tidak seperti lain -lain wilayah Islam yang terjajah. Palestin masih lagi berada dalam tempoh awal penjajahan, Palestin masih berada di fasa jihad senjata dan perang.

Ini berbeza dengan Andalus, dan wilayah-wilayah lain Islam yang terjajah.

Andalus, hari ini bukanlah sebuah medan tempur jihad. Bahkan ummat barangkali sudah lupa bahawa Andalus adalah dahulunya sebuah wilayah Islam. Maka min bab al aula (lebih utama) untuk memberi kesedaran kepada seluruh ummat tentang tanah al maghnumah (harta jihad) ini, nilainya di sisi Islam dan sebagainya. Berbanding melaungkan kalimat jihad senjata sedangkan tiada siapa yang menyahutnya asbab kejahilan ummat akan kepentingan wilayah tersebut di sisi Islam.

Sebaliknya al Quds, ummah masih pedih dengan krisis pembunuhan dan pencerobohan terancang ini. ummah masih menghargai nilai al Quds dan masih siap menghafal catitan peristiwa, tarikh tarikh penting dan nas berkaitan al Quds. 

Kedua-duanya, Palestin dan Andalus mempunyai latar jihad yang berbeza. Maka mekanisma pembebasannya juga berbeza.


Kesimpulan

Meraikan pandangan adalah suatu lumrah, fitrah dan adab dalam memberi keputusan terhadap sesebuah kajian. Perbezaan yang berlaku adalah pada dos yang sederhana, tidaklah terlalu menghalalkan dan tidak pula terlalu mengharamkan. Kedua-dua pandangan pula, dilontarkan tanpa mengabaikan perjuangan pembebasan al Quds sebagai 'illatu al 'ilal (pusat rujukan tumpuan)

Dengan penuh rendah diri, saya tidak merajihkan mana-mana pandangan walaupun sangat cenderung kepada pandangan yang mengharamkan.

Pada hemat saya, menziarahi al Quds adalah haram dengan beberapa pengecualian, iaitu:

i. Penduduk asal Palestin yang bermuqim di luar Palestin, dan memasuki Palestin atas asbab ad dhorurah dan al hajah.

ii. Urusan-urusan kemanusiaan dan bantuan kecemasan.

iii. Di bawah bicara Siyasah Syar'iyyah, mana-mana tindakan memasuki al-Quds yang distrategikan untuk membebaskannya adalah boleh.

Izinkan saya untuk memberi sebuah tausiyah (wasiat) ringkas, agar kajian yang sederhana ini benar benar melahirkan penulisnya dan pembaca yang benar-benar komited dan beriltizam dalam perjuangan pembebasan al Quds.

i. Pembebasan al Quds bukan semata-mata untuk membebaskannya dari Zionis. Ia dinisbahkan sebagai manifestasi keimanan seorang Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi, kemudian Islam kembali memberi rahmahnya ke seluruh alam. 

ii. Membebaskan al Quds perlu dimulai dengan membebaskan diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Firman Nya mengajar kita bahawa sebuah perubahan hanya akan berlaku, apabila individu telah berubah.

iii. Membenci Zionis, perlu dituruti dengan mencintai Palestin. Kita menginsafi sikap sebahagian ummat Islam yang hanya rancak berdemonstrasi dan memaki musuh, tetapi gagal membuktikan cintanya terhadap perjuangan sendiri di peringkat rumahtangga, amal ibadah dan amal jariyah bersama masyarakat.

iv. Lazimi sikap memberi dan berkhidmah, dalam apa sahaja bidang yang diceburi. imanilah, bahawa tindakan pertama selepas tahu adalah memberi tahu.

v. Menegakkan kalimah Allah adalah sebuah tindakan yang cukup sukar, ia memerlukan ketumbukan kuasa yang besar. Untuk melaksanakannya, sunnah adalah rujukan utama kita.

Sunnah mengajar kita bahawa menegak kalimah Allah perlu dilakukan secara bersama, kolektif. ia dinamakan al 'amal al Jama'i, amal berorganisasi dan berstrategi.

Sertailah mana mana perjuangan Islam di sekitar anda, pilihlah mana yang paling hampir dengan iman anda. 

Semoga Allah s.w.t berkati dan memberi pahala serta kebaikan yang banyak atas usaha yang kecil ini. Tiada keinginan dari saya, kecuali al Islah (pembaikan) sehabis baik yang saya mampu. Tiadalah yang memberi at Taufiq, kecuali Allah s.w.t.

Wassalamullahi aleykum, wa rahmatuhu wa barakatuhu


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] An nawawi, fi Syarhi Sahih Muslim 11/40

Senarai rujukan umum :

1. al Munjid, fi al Lughah wa al I'lam
2. Yusuf al Qaradhawi, al Quds Qadhiyah Kullu Muslim
3. Yusuf al Qaradhawi, Feqh al Islami baina al Asolah wa at Tajdid
4. Raghib Sarjani, Falastin wajibatu Ummah
5. Hisham Fahmi al Arif, Ithafu al Anam bi Fadho'ilu Masjidi al Aqsa
6. Thariq Sweidan, Falastin at Tarikh al Musowwar
7. Qahtan Abdu ar Rahman ad Duri, Manahiju al Fuqaha' fi Istinbatu al Ahkam
8. Muhammad Imarah, al Quds as Syarif fi ad Din wa at Tarikh wa al Asatir
9. Manna' al Qattan, Tarikh at Tasyri' al Islami
10. Mahmud Syakir, at Tarikh al Islami
11. Abdur Ra'ouf Kharabsyah wa rifaqihi, Tahriru an Nuqul fi 'Ilm al Usul
12. Portal al Ittihad al 'Alami li 'Ulama al Muslimin http://www.iiumsonline.net
13. Portal Hai'at al 'Ulama Falastin fi al Kharij http://www.palscholars.com
14. Portal al Falastini lil I'lam http://www.palinfo.com