Menyemak kembali air mata haramain,
Dan esakan Multazam yang menyesak dada,
Serta, seluruh janji manis dan impian,
Agar bergelar abdan syakura,
Alhamdulillah, anugerah ini cukup istimewa buat seorang warga Malaysia yang mastautinnya jauh nun di Tenggara Asia. Aku kira, wang yang ditabungi sedari lahir di Tabung Haji hanya dituai mungkin 10 tahun atau 20 tahun dari tarikh aku mencatit entri sederhana ini.
Imam
Sallahuddin al ayyubi, wirawan pembukaan semula al Quds yang tawadhu' itu terlebih dahulu menjadi imamku dalam ekspedisi Haramain ini. Beliau pergi menemui Allah s.w.t, dan impiannya untuk menjejaki Haramain untuk menunaikan haji tidak tercapai.
Apapun ulasannya, aku meyakini bahawa Sallahuddin al ayyubi terlebih dahulu telah meneliti sabdaan baginda s.a.w apabila mengatakan, "iman kepada Allah dan Rasul Nya," begitu jawabnya apabila Abu Hurairah mengajukan soal sebaik-baik amal, "kemudian berjihad di jalan Nya, kemudian Haji yang mabrur".
Ah, sungguh aku jadi cemburu dengan riak gagahmu Salahuddin apabila memilih untuk bersakit-sakitan menunggang kuda, kemudian mengerahkan para Muslimin mensucikan kota al Quds dari kotoran tentera Salib.
Ibn Mubarak juga sosok qudwah yang baik, apabila mengirim sebuah makalah teguran buat Fudhayl ibn Iyyadh lewat ibadahnya di Haramain sedang para Muslimin sedang melakukan ar Ribath di persempadanan Syam-Rom.
Wahai hamba dua tanah haram (Haramain),
Jika engkau melihat kami,
nescaya engkau akan dapati,
Bahawa engkau, sedang bermain main dalam ibadah,
Ia contoh yang ringkas, diriwayatkan agar generasi baru bisa ambil muhasabah. Apakah nilai sebenar sebuah ibadah? atau yang lebih asas, apakah yang memaknai sebuah ibadah?
Bagaimanakah rupanya sebuah umrah, apabila antara dua umrah diampunkan semua dosa. Bagaimana pula haji mabrur, yang tiada ganjaran padanya kecuali syurga?
Tanda Ubudiyah dan Istikhlaf
Hamba, frasa paling mendasar dalam suai kenal ciptaan tuhan bergelar manusia ini. Kosa kata menjadi semakin kaya, dengan menyerahkan kepada pencipta untuk memperkenalkan siapakah itu manusia. Allah, dengan sifatnya yang Rabb (pemelihara), Ilah (tunggal) dan Hakim (pemerintah).
Wahai yang memelihara diriku, aku tiba di Haramain selaku hamba Mu. Lantaran itu surah al Fatihah telah menggunakan ar Rahman kemudian ar Rahim, sebagai perkataan pertama di dalam turutan mashafmu Kemudian lewat perenggan kesyukuran, kepada Rabbal 'alamin.
Begitu kerapnya di peringkat awal Aqidah mendesakkan satu jiwa itu untuk benar benar mengenali tuhannya terlebih dahulu sebagai pemelihara, penyayang, pemberi cahaya, pembimbing. Dengan itu, Muhammad s.a.w menjadi tenang untuk tampil di bukit sofa justeru menawarkan Iman terhadap Allah kepada perkumpulan banu Quraisy. Abu Dzar menjadi rela dibelasah, Bilal dan keluarga Yassir tidak putus berzikir walau dihambat ruh mereka agar keluar dari jasad oleh pembuli bengis, pemuka Quraisy.
Wahai yang tiada persekutuan, aku tiba di Haramain dengan munajat kepada Mu. Hanya kepada Mu, tiada tarikan lelongan jubah murah di Pasaraya Ben Dawud, bukan rangup ayam goreng al Baik, apatah lagi keindahan seni bina Jam Di-Raja yang cukup hampir dengan Masjid al Haram itu. Sungguh langkahku ke sini hanya untuk berkhalwah syu'uriyah dengan Mu. Aku tak punya syahwat kepada keindahan dunia, cukup bersuhbah dengan Mu.
Barangkali, dengan satunya pusat tujuan, berpusatnya sebuah orientasi amal, itulah yang menatijahkan barakah dalam tindakan. Amal menjadi Rabbaniyah, kegagalan menjadi tidak melukakan, musibah menjadi pemangkin syukur, kesusahan menjadi kekuatan baharu. Apakah ada mafsadah, apabila engkau punyai Allah yang sentiasa memberi maslahah kepada hamba Nya? Inilah bekal Ka'b ibn Malik lantas tabah menghadapi pemulauan seraya diampunkan dosanya, ini bekal Mus'ab ibn Umair apabila siap mengetuk sekalian pintu di Madinah agar warganya kembali mentauhidkan pencipta.
Wahai yang memberi keputusan dan hukuman, aku tiba di Haramain untuk mengkoreksi kembali kadar serah diriku pada syari'atmu, untuk menghitung usahaku untuk meningkatkan potensi merealitikan syari'at di muka bumi. Hakimiyah Mu yang sering kali tidak dipeduli adalah impianku, aku tidak memahami sifat aqidah kosong, menghadkan tugas tuhan sebagai kaunter tiket ke syurga dan menghapuskan dosa tetapi culas dalam menyerahkan urusan hidup kepada arahan Nya.
Aku siap menjadi asbab kembalinya bumi ini di bawah rahmah Hakimiyah Mu, dari urusan peribadi sehingga ketata-negaraan.
Ini adalah kacamata yang aku pakai, dalam timbang semak sebuah amal.
Tentang Haramain
Tentang Haramain
Tentang Haramain, aku mencatitkan nota nota penting yang akan selalu menegurku, pemberi semangat baharu. Aku mesti selalu ingat, bahawa di situlah aku pernah berikrar dan bersumpah setia.
Tentang Haramain, aku bawakan dalam bentuk lembaran bercatit dari sekadar berada di legar khayalan dan kotak memori. Menggantikan kalamku yang terhad, kelibatku yang terbatas sehingga aku menuju ke temanku yang terutama (rafeeqi al a'la) kelak.
Tentang Haramain, kita belajar memaknai kehidupan.
Tentang Haramain, aku bawakan dalam bentuk lembaran bercatit dari sekadar berada di legar khayalan dan kotak memori. Menggantikan kalamku yang terhad, kelibatku yang terbatas sehingga aku menuju ke temanku yang terutama (rafeeqi al a'la) kelak.
Tentang Haramain, kita belajar memaknai kehidupan.
No comments:
Post a Comment