Monday, June 9, 2014

#BUKWIT : KISAH FEQH 1

I

Ada keindahan yang agung dalam subjek Feqh, dan usulnya.

Ia bukan ilmu teknikal dan terlalu ilmiah, ia bukan semata-mata pembukuan karya warisan berbahasa Arab yang berjilid jilid, tidak pula sekadar menghafal matan-matan, bukan mengsakralkan syuyukh dan kutub turath. Ia tidak juga hak kepada golongan ustaz dan ulama'.

Ia adalah sebuah perjalanan, al maseerah.

Feqh adalah sebuah manifestasi kecintaan para Muslimin sepanjang zaman terhadap risalah yang diwariskan Muhammad s.a.w. Mereka mati kerananya, mereka sudi bujang untuknya, redha berlebam mata dan kejang tangan untuk mendokumentasi faktanya.


II

Makna feqh itu sendiri sudah indah, ia memberi erti faham.

Bahkan sang bayi pun menjadi celaka, jika tidak mengerti beza susu dan cuka. Apatah lagi sang pembawa risalah, yang disematkan di dadanya Aku Berbangsa Muslim. Mereka perlu dihadapan dalam nuansa faham, mereka perlu paling faqih.

Barangkali, itu sebab yang memahami ini mendapat kebaikan khusus dari Rabbnya.

"Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan," begitu sabda Baginda s.a.w, "Allah akan menjadikan dia faqih (faham) tentang agamanya" 

Begitu juga pengertian hadith logam yang memberi penekanan pada predikat "jika dia faham", sebagai prasyarat terpilihnya seseorang baik jahiliyahnya mahupun Islamnya.


III

Seorang faqih, ada petandanya. Ada senarai pembuktian yang boleh menjadi rujukan. Ia difahami dari surah ali Imraan pada ayatnya yang ke sebelas,

"kalian adalah khaira ummah (sebaik baik ummah), yang dibangkitkan kepada sekalian manusia. Mengajak kepada yang dituntut, dan mencegah dari yang dihalang, dan beriman kepada Allah"

Ia tidak lari dari konsep asal kehidupan, sifirnya

Semakin faham tentang Islam, semakin tercapai tujuan hidupnya

dan begitulah sebaliknya, jika dia bukan seorang faqih. lemah nyalaan impiannya, dia tidak manusiawi, dia lupa memberi harapan kepada pendosa, hidupnya berdagingkan al hawa walaupun kulitnya adalah kuotasi sarjana Agama.


IV

Selari dengan petanda manusia, ubudiyah (mengabdi) dan istikhlaf (melaksana tugas pengganti Nabi s.a.w).

Selaksana itulah tanggungjawabnya seorang faqih, dia sedang beribadah melalui kajiannya seraya menjadi khalifah sejati.

Agar risalah ini memberi rahmatnya buat sekalian makhluk, kerana yakin bahawa pemilik risalah ini paling memahami keperluan hambanya, paling tepat timbangannya, paling cekap semakannya.

Setelah ia beraksi, ia lantas fasih berkata; "agar ini menjadi alasanku di hadapan Allah kelak, dan supaya kalian bertaqwa" al a'raf : 164






No comments: