Hujah ke atas pendalilan yang mengharamkan:
1. Sebagaimana ziarah ini memberi sumbangan material kepada Zionis, begitu juga sumbangannya kepada Muslimin. Bahkan, Zionis tidak mendapat manfaat material kecuali pada urusan transaksi kastam yang melibatkan visa sahaja. Baki sumbangan dan urus niaga, memberi manfaat kepada Muslimin terutama yang berada di dalam wilayah Palestin, al Quds khususnya.
Tentang sumbang maknawi, yang berupa sokongan moral dan lain lain tidak boleh diharamkan secara mutlak kepada semua yang menziarahi al Quds.
Mereka yang menziarahi al Quds tanpa menyokong pencerobohannya oleh Zionis dan tanpa pengawasan, ataupun memasuki al Quds untuk aktiviti kemanusiaan dan bekalan bantuan terkeluar dari senarai yang diharamkan.
Maka adalah lebih sejahtera dengan tidak mengitlakkan pengharaman kepada semua Muslimin, sebaliknya menyatakan beberapa pengecualian seperti yang disebutkan.
Sesiapa sahaja berhak, untuk memasuki al Quds demi mengimarahkannya, bertemu sekalian Muslimin dari segenap penjuru dunia, beri'tikaf di Masjid al Aqsa, bertamu di Ramadhan dan sebagainya.
Hujah balas :
Apa yang dinyatakan, pertama sekali adalah hujah yang di atas angin tanpa membumi pada realiti. Krisis al Quds tidak boleh dinilai pada sebahagian sudut sahaja tanpa memberi perhatian kepada sudut-sudut yang lain. Ia bukan semata mata isu kewangan atau ekonomi, ia berkaitan dengan strategi perjuangan pembebasan al Aqsa dan mempertahankannya dari penceronohan Zionis.
2. Ziarah Palestin atau al Quds tidaklah dikira sebagai normalisasi atau tunduk kepada penjajah, jika ziarah yang dilakukan tidak memaksudkan yang demikian. Adalah tidak absah untuk memberi satu hukum, kepada dua situasi yang berbeza.
Hujah balas :
isu normalisasi atau tunduk kepada penjajah berada di luar radar al ibadah al mahdhoh (Ibadah yang tulin) seperti solat, haji dan puasa yang banyak merujuk kepada amal Qalbi (isu hati) seperti ikhlas, riya', syirik dan sebagainya.
Sebaliknya isu ini berkaitan hubungan antara manusia dengan manusia, di bawah pecahan Feqh al Mu'amalat. Ini menuntut kita untuk menyungkurkan akal ke realiti, mendalami hakikat sepak terajang dunia politik dan kemasyarakatan untuk menilai dan memberi keputusan dalam sesebuah masalah. Ziarah, dengan meminta izin dari penjajah tanah Muslimin menggambarkan normalisasi dan persetujuan terhadap apa yang dilakukan oleh penjajah, ia dinamakan at Tatbi'.
3. Aqidah Islam bukan sahaja mengarahkan al barra' (pemutusan) daripada penjajah sahaja bahkan terhadap kafir. Oleh itu, ini memberi makna bahawa ia tidak mengkhususkan hukum terhadap kafir di Palestin sahaja (dalam hal ini, Zionis) bahkan di seluruh dunia.
Dari itu, kita fahami bahawa interaksi urus niaga antara Muslim dan Kafir adalah dibolehkan.
Hujah balas : Kafir terbahagi kepada tiga golongan, setiap satunya mempunyai kaedah interaksi yang berbeza-beza. Zionis di al Quds termasuk di bawah pengkelasan Kafir Harbi (Kafir yang bersifat memerangi)
Golongan Kafir Harbi inilah yang menjadi subjek pemboikotan. Ini dinyatakan oleh Imam an Nawawi apabila menghurai hadith mu'amalah Nabi s.a.w dengan Yahudi, "tetapi ummat Islam dilarang sama sekali berurus niaga dengan musuh yang sedang memerangi Islam"[1]
4. Ada sebuah persoalan yang sukar, apakah perbezaan menziarahi al Quds dan menziarah Andalusia? Sedang kedua-duanya berada dalam kategori ad Daulatu al Muslimah al Muhtallah (Negara Islam yang terjajah). Mengapa dibolehkan Andalusia, tetapi tidak pada al Quds?
Bagaimana dengan ratusan lagi negara yang wujud pasca penjajahan kolektif yang berlaku selepas perang dunia pertama dan kedua? bagaimana dengan Phattani? France? Ethiopia?
Hujah balas : Palestin, yang ternaung di bawahnya al Quds tidak seperti lain -lain wilayah Islam yang terjajah. Palestin masih lagi berada dalam tempoh awal penjajahan, Palestin masih berada di fasa jihad senjata dan perang.
Ini berbeza dengan Andalus, dan wilayah-wilayah lain Islam yang terjajah.
Andalus, hari ini bukanlah sebuah medan tempur jihad. Bahkan ummat barangkali sudah lupa bahawa Andalus adalah dahulunya sebuah wilayah Islam. Maka min bab al aula (lebih utama) untuk memberi kesedaran kepada seluruh ummat tentang tanah al maghnumah (harta jihad) ini, nilainya di sisi Islam dan sebagainya. Berbanding melaungkan kalimat jihad senjata sedangkan tiada siapa yang menyahutnya asbab kejahilan ummat akan kepentingan wilayah tersebut di sisi Islam.
Sebaliknya al Quds, ummah masih pedih dengan krisis pembunuhan dan pencerobohan terancang ini. ummah masih menghargai nilai al Quds dan masih siap menghafal catitan peristiwa, tarikh tarikh penting dan nas berkaitan al Quds.
Kedua-duanya, Palestin dan Andalus mempunyai latar jihad yang berbeza. Maka mekanisma pembebasannya juga berbeza.
Kesimpulan
Meraikan pandangan adalah suatu lumrah, fitrah dan adab dalam memberi keputusan terhadap sesebuah kajian. Perbezaan yang berlaku adalah pada dos yang sederhana, tidaklah terlalu menghalalkan dan tidak pula terlalu mengharamkan. Kedua-dua pandangan pula, dilontarkan tanpa mengabaikan perjuangan pembebasan al Quds sebagai 'illatu al 'ilal (pusat rujukan tumpuan)
Dengan penuh rendah diri, saya tidak merajihkan mana-mana pandangan walaupun sangat cenderung kepada pandangan yang mengharamkan.
Pada hemat saya, menziarahi al Quds adalah haram dengan beberapa pengecualian, iaitu:
i. Penduduk asal Palestin yang bermuqim di luar Palestin, dan memasuki Palestin atas asbab ad dhorurah dan al hajah.
ii. Urusan-urusan kemanusiaan dan bantuan kecemasan.
iii. Di bawah bicara Siyasah Syar'iyyah, mana-mana tindakan memasuki al-Quds yang distrategikan untuk membebaskannya adalah boleh.
Izinkan saya untuk memberi sebuah tausiyah (wasiat) ringkas, agar kajian yang sederhana ini benar benar melahirkan penulisnya dan pembaca yang benar-benar komited dan beriltizam dalam perjuangan pembebasan al Quds.
i. Pembebasan al Quds bukan semata-mata untuk membebaskannya dari Zionis. Ia dinisbahkan sebagai manifestasi keimanan seorang Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi, kemudian Islam kembali memberi rahmahnya ke seluruh alam.
ii. Membebaskan al Quds perlu dimulai dengan membebaskan diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Firman Nya mengajar kita bahawa sebuah perubahan hanya akan berlaku, apabila individu telah berubah.
iii. Membenci Zionis, perlu dituruti dengan mencintai Palestin. Kita menginsafi sikap sebahagian ummat Islam yang hanya rancak berdemonstrasi dan memaki musuh, tetapi gagal membuktikan cintanya terhadap perjuangan sendiri di peringkat rumahtangga, amal ibadah dan amal jariyah bersama masyarakat.
iv. Lazimi sikap memberi dan berkhidmah, dalam apa sahaja bidang yang diceburi. imanilah, bahawa tindakan pertama selepas tahu adalah memberi tahu.
v. Menegakkan kalimah Allah adalah sebuah tindakan yang cukup sukar, ia memerlukan ketumbukan kuasa yang besar. Untuk melaksanakannya, sunnah adalah rujukan utama kita.
Sunnah mengajar kita bahawa menegak kalimah Allah perlu dilakukan secara bersama, kolektif. ia dinamakan al 'amal al Jama'i, amal berorganisasi dan berstrategi.
Sertailah mana mana perjuangan Islam di sekitar anda, pilihlah mana yang paling hampir dengan iman anda.
Semoga Allah s.w.t berkati dan memberi pahala serta kebaikan yang banyak atas usaha yang kecil ini. Tiada keinginan dari saya, kecuali al Islah (pembaikan) sehabis baik yang saya mampu. Tiadalah yang memberi at Taufiq, kecuali Allah s.w.t.
Wassalamullahi aleykum, wa rahmatuhu wa barakatuhu
Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014
_________________________________________________
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014
_________________________________________________
[1] An nawawi, fi Syarhi Sahih Muslim 11/40
Senarai rujukan umum :
1. al Munjid, fi al Lughah wa al I'lam
2. Yusuf al Qaradhawi, al Quds Qadhiyah Kullu Muslim
3. Yusuf al Qaradhawi, Feqh al Islami baina al Asolah wa at Tajdid
4. Raghib Sarjani, Falastin wajibatu Ummah
5. Hisham Fahmi al Arif, Ithafu al Anam bi Fadho'ilu Masjidi al Aqsa
6. Thariq Sweidan, Falastin at Tarikh al Musowwar
7. Qahtan Abdu ar Rahman ad Duri, Manahiju al Fuqaha' fi Istinbatu al Ahkam
8. Muhammad Imarah, al Quds as Syarif fi ad Din wa at Tarikh wa al Asatir
9. Manna' al Qattan, Tarikh at Tasyri' al Islami
10. Mahmud Syakir, at Tarikh al Islami
11. Abdur Ra'ouf Kharabsyah wa rifaqihi, Tahriru an Nuqul fi 'Ilm al Usul
12. Portal al Ittihad al 'Alami li 'Ulama al Muslimin http://www.iiumsonline.net
13. Portal Hai'at al 'Ulama Falastin fi al Kharij http://www.palscholars.com
14. Portal al Falastini lil I'lam http://www.palinfo.com
No comments:
Post a Comment