Tuesday, June 3, 2014

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 4/6

Ziarah al Quds, dimensi feqh

Sepanjang penelitian saya yang lemah ini di pelbagai peringkat sumber maklumat, saya dapati hanya ada sebahagian kecil perbincangan dan penulisan artikel berkaitan ziarah al Quds, atau lebih tepat menziarahi al Quds di bawah penjajahan Zionis. Penulisan ilmiah pula amat terbatas, yang panas dan laku adalah sekadar menjawab pertanyaan wartawan akhbar tanpa menyertakan hujah dengan terperinci.

Bukan sahaja itu, bahkan tiada sebarang manuskrip bertaip atau warisan yang secara khusus membincangkan tentang tajuk kajian ini sedangkan peristiwa sama turut berlaku di era Abbasiyah dan Uthmaniyah apabila al Quds terjajah semula oleh Tentera Salib.

Sebelum lebih lanjut kepada dapatan maklumat dan analisis, berikut adalah latar masalah ziarah al Quds.

Permasalahan ini muncul sejak 45 tahun yang lalu apabila Anwar Sadat, Presiden Pertama Mesir bertindak menziarahi al Quds di samping menandatangani perjanjian Camp David 1977 yang menjadi titik tolak pengiktirafan entiti haram Israel. Ketika itu, Syaikh Abdul Halim Mahmud berperanan selaku Syaikhul Azhar dan beliau mengkritik sekerasnya tindakan Sadat tersebut. Selepas beliau, Syaikh Mutawalli Sya'rawi yang memegang jawatan yang sama telah turut mengkritik tindakan mana mana pihak yang menziarahi Palestin.

Sehinggalah pada tahun 2008, Mahmoud Abbas Perdana Menteri ke-tiga Palestin berucap dan menyatakan secara rasmi jemputan kepada seluruh ummah untuk menziarahi al Quds. Beliau telah berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Mempertahankan al Quds yang dianjurkan di Doha, Qatar. Ini bukanlah satu satunya seruan menziarahi al Quds bahkan ia telah berulang kali juga menjadi zikir sebahagian pihak baik di dalam atau di luar al Quds. Misalnya, oleh Menteri Wakaf Ramallah. Mufti Mesir yang terdahulu, Ali Jumu'ah dan Ali Jufri seorang da'ie Yamani antara yang menyahut seruan menziarahi al Quds.

Berlaku selepas itu, siri berbalas hujah dan kritikan yang berterusan dari pelbagai pihak.


Pandangan Para Ulama'

Telah jelas, umumnya para pemberi pandangan bolehlah dikelaskan kepada dua bentuk pandangan yang berikut:

kelas satu : Mengharamkan kecuali pada beberapa pengecualian, 

Antara yang termasuk dalam kelas ini adalah Yusuf al Qaradhawi, al Ittihad al 'Alami li Ulama' al Muslimin (Kesatuan Ulama' Muslimin Antarabangsa), Hai'ah Ulama' Falastin fi al Kharij (Himpunan Ulama' Pakestin di luar Palestin) dan Rabithah Ulama' Falastin (Kesatuan Ulama' Palestin)

kelas dua : Mengharuskannya secara mutlaq, 

Pendapat ini didatangkan oleh pelbagai ulama' bebas tanpa mengikatnya dengan mana mana pertubuhan dan persatuan, ia didokong oleh 'Ali Jumu'ah dan Ali Jufri, juga di dalam senarai adalah Mahmoud Abbas dan Zaqzouq, Menteri Waqaf Ramallah. Dikatakan dari sumber atas talian bahawa Ibn Baz turut menyokong pandangan ini tetapi saya tidak dapat akses kepada maklumat tersebut dari mana mana sumber yang jelas. 


Asbab Perbezaan Pandangan

i. Beza kaedah berinteraksi dengan nas berkaitan, ia dinamakan Feqhu an Nusus
ii. Beza pada semak timbang dalam menilai al maslahah dan al mafsadah
iii. Tidak wujud perbincangan dan rujukan ilmiah dari ulama' silam
iv. Tidak wujud nas as sohihah dan as sorihah, khusus tentang masalah ini


Penjelasan Istidlal

Kelas satu : Harus menziarahi al Quds 

i. Qiyas ke atas ziarah Rasulullah s.a.w ke Makkah yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Quraisy, telah maklum bahawa Quraisy adalah musuh Muslimin yang memerangi Rasulullah s.a.w dan risalahnya. Merekalah yang telah mengotori kawasan paling suci bagi seluruh ummah. Jika benar haram, mengapakah Rasulullah s.a.w menziarahi Makkah?

ii. Ziarah al Quds memberi dokongan dan sokongan materi dan maknawi terhadap rakyat Palestin khususnya pemastautin al Quds. Menziarahi mereka memberi kekuatan mental, seterusnya membantu perjuangan membebaskan al Quds.

iii. Sebagai sokongan moral terhadap krisis penjajahan ke atas Palestin, al Quds khususnya. Ia terhasil melalui bersatunya ummah, dengan menziarahinya seterusnya membuahkan cakna dan prihatin.

iv. Ziarah tidak bermaksud mengiktiraf negara haram Israel, bahkan sebaliknya menyatakan bahawa al Quds adalah milik Muslimin yang menziarahinya. Ziarah bererti melindunginya, dan mengimarahkannya dengan Muslimin mendominasi komposisi pelancong dan bukan sebaliknya.

v. Qiyas terhadap rakyat Palestin di dalam wilayah jajahan, di mana mereka keluar-masuk Palestin ke luar dan tidak ada sebarang ulama' yang mengharamkannya.

vi. Pahala dan ganjaran, ia bertepatan dengan hadith Rasulullah s.a.w, "Janganlah bersusah payah bermusafir kecuali ke tiga masjid ; Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan Masjid ini (an Nabawi)"[1]


Kelas dua : Haram menziarahi al Quds

i. Allah s.w.t menghalang Muslimin daripada menolong Kafirin dan berkerjasama dengan mereka untuk memusnahkan Islam. Firman Allah s.w.t, "berkerjasamalah kalian dalam ketaatan dan ketakwaan, dan janganlah berkerjasama dalam dosa dan perkelahian" al Maidah : 2. Ziarah ke Palestin melalui urusan visa atau sebarang transaksi kewangan memberi maksud kerjasama bersama Zionis baik secara langsung atau tidak untuk faedah materi. Begitu juga faedah maknawi, bahawasanya mereka punya autoriti untuk memberi kebenaran atau menghalang untuk memasuki al Quds.

ii. Proses Normalisasi dan tunduk kepada penjajah Zionis adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh majoriti ulama'. Sebarang urusan transaksi kewangan, visa dan yang berkaitan membawa kepada pengiktirafan kewujudan mereka, mengiktiraf kuasa dan entiti mereka di bumi Muslimin yang dijajah.

iii. Palestin yang terjajah, bukanlah dibebaskan melalui ziarah. Bahkan tuntutan sebenar adalah berjihad membebaskannya melalui pelbagai usaha di setiap peringkat. Boikot dikira sebagai salah satu usaha yang sangat baik, terutama dari mereka yang tidak dapat terlibat secara langsung dalam perjuangan membebaskan al Quds. Bukannya melutut meminta izin untuk menziarahi tanah sendiri.


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] al Bukhari, Muslim, Tirmizi

No comments: