Tuesday, June 3, 2014

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 1/6

Muqaddimah

Palestin dan kita, laksana kuku dengan isi umpama aur dengan tebing. Ibaratnya, seseorang itu jadi diragui kerakyatan muslimnya andai dia lupa bahawa daerah penting dalam peta ketamadunan ummah ini sedang cuba dirobek kesuciannya. 

Konsflik Palestin adalah antara yang menjadi titik tumpuan apabila bicara tentang kemanusiaan dan lebih tepat, kemunusiaan seorang muslim pada hari ini. Bahkan ia adalah isu tumpuan yang mendominasi plot plot pembukuan sejarah Islam khususnya, sepanjang zaman. Para penceroboh, pengkhianat bertali arus mencemburui kesuciannya pada setiap kurun. Palestin adalah tanah barakah, tanah yang suci, tanah yang menyaksikan seerah para anbiya'. Di atas tanahnya, disirami darah peluh dan air mata para syuhada'. Mereka telah mendahului kita dalam penyaksian al haq, ar risalah. Palestin atau lebih fokus Masjid al Aqsa adalah kiblat pertama ummah, tanah haram yang ketiga, di atasnya jugalah titik temu antara isra' dan mi'raj Rasulullah s.a.w.

Namun, kesalnya

Di samping kayanya tanah ini dengan kemuliaan dan kemahsyuran dari Allah s.w.t, kita dapati ianya hanya tinggal madah dan slogan penenang hati dan penyeka air mata. Hari ini, Palestin dan Masjid al Aqsa dijajah dengan rakus oleh musuh-musuh anti-semitik, mereka kadang kala cuba mendokong aspirasi kemanusiaan yang dikibarkan di antero dunia. Tanah ini terus subur lagi dengan siraman darah dan air mata, oleh segelintir kecil yang masih punya harga diri dan negarawan sejati. Operasi pengyahudian digerakkan, tuntas mengubah tanah ini baik materi mahupun maknawinya. Masjid menjadi Sinagog, panji biru-putih berbintang David dinaikkan serancaknya. Ideologi protokol zionis meracuni identiti bangsa, bukan sahaja di tanah Palestin bahkan ummah keseluruhannya.

"Akan sentiasa ada segolongan dari ummatku" baginda s.a.w memulakan sabdanya, ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam sunannya, "yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barang siapa cuba menghampakan mereka, tidak sekali-kali dapat melukakan mereka mahupun oleh kesusahan yang menimpa mereka sehinggalah datang keputusan Allah dan mereka tetap sedemikian" 

Sahabat r.anhum bertanya, "di manakah mereka ini ya Rasulallah" 
jawab baginda s.a.w, "mereka berada di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis".

Nah, maka benarlah sabda baginda s.a.w. Benarlah  segolongan ummah sebenarnya tidak pernah tidur mendepani pertembungan ini, tanah wakaf dan tanah yang dijanjikan ini masih di zon jihad. Segolongan ummah ini sedang berjuang mengembalikan kesuciannya kepada Islam, telah tercatit di lembar sejarah, bahawa segolongan ummah ini wujud sehingga hari ini.

Dengan berubahnya peristiwa dan berlalunya zaman, berbezalah juga ijtihad segolongan ummah ini dalam memperjuangkan tanah Palestin. Ia bermain dengan terminologi penting, Siyasah Syar'iyyah dan Feqh Ma'alat yang pelbagai. Dalam teks kajian, kita temui perbincangan panjang mengenai pemboikotan ekonomi, ziarah al Quds, istisyhadiyah (bunuh diri sebagai syahid), menjual tanah al Quds, persetujuan diplomatik dan banyak lagi isu isu baharu yang bermain di pasar perbahasan feqh. 

Maka dengan rendah diri, saya telah memilih untuk menyusun dan menganalisis sebuah tajuk dari tajuk-tajuk yang dinyatakan iaitu ziarah al Quds. 

Saya memilih tajuk ini selepas berkali kali bertukar tajuk, kerana kekerapan perbincangan dan berlaku krisis hukum dalam kalangan pelajar Malaysia di Jordan dan di Malaysia umumnya. Perbahasan mengenainya mendapat hit yang tinggi, yang mengejutkan adalah statistik yang diwartakan oleh Kementerian Perlancongan Israel dengan meletakkan Malaysia sebagai negara kedua yang menyumbang kepada ekonomi lokal dari sektor yang pelbagai, terutamanya perlancongan.

Saya gagal menerima ini dengan hati terbuka dan bangga, ia menjelekkan akal dan meruntuhkan hati seorang Muslim. Maka adalah sebuah pahala yang besar jika dapat membukukan sebuah kajian ilmiah yang jelas, bagi sekurang kurangnya menjadikan kita orang yang benar benar faham sebelum melakukan apa sahaja tindakan, khususnya mengenai ziarah al Quds.

Semoga Allah menurutkan taufiqnya atas kajian ini

Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014

No comments: