Tuesday, May 27, 2014

#Risalah : Muqaddimah

Bismillah s.w.t, 

Yang telah menganugerahkan kesatuan antara cita-cita dan impian kita dengan taqdir Nya. Yang mengatur prahara demi membesarkan hati dan jiwa. Yang tidak berhenti memberi bahagia, yang diri Nya adalah sebagaimana yang kita sangka.

wa Bi hikmati nabiyyihi s.a.w,

Terutusnya Baginda selaku saksi, pemberi khabar bahagia dan peringatan. Baginda telah menyampaikan risalah, menyempurnakan amanah dan menyuluhkan ummah akan jalan menuju bahagia. telah berlalu di atasnya sekalian sahabat r.anhum, para tabi'in, soliheen serta du'at sepanjang zaman. Mereka siap berkorban, siap mati untuk mewariskan risalah buat ummah. 

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah. 

Sebermula, 

Bukan mudah sebenarnya menyatukan tinta dan lembaran, tentulah ia memerlukan jiwa yang kuat untuk memberi dan berkhidmah. Untuk saya, itu adalah dorongan terbesar untuk menulis. Saya belajar justeru yakin, bahawa amanah pertama selepas faham adalah memberi. Tanpa menunggu sempurna, tanpa merasa takut tidak dihargai.

itu yang digambarkan sebuah hikmah,

" engkau dipertanggungjawab dengan amal, bukan hasil "

Penulisan adalah saya yang seterusnya untuk mengumpul asbab mengetuk pintu syurga, 

" Tanganku akan hancur di dalam tanah 
Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku 
Moga sesiapa yang membaca tulisan ini 
Mendoakanku dari Azab "


Di tengah, di antara al Banna dan Syed Qutb

Saya cuba berada dengan yakin pada dua realiti, antara menulis rijal dan menulis buku. 

Saya berasa terlalu kerdil untuk menyebut bahawa saya tidak menulis, kerana saya menulis rijal. Di samping, saya tidak juga mendabik dada kepetahan penulisan yang menggetar jiwa pembaca. Kedua dua kelemahan ini membawa saya insaf, kemudian bersedia untuk belajar lebih banyak darinya. Maka saya memilih untuk berada di pertengahan, antara dua bentuk penulisan.

Katibu ar Rijal dan Katibu ar Risalah, kedua duanya punya kekuatan tersendiri dalam pertarungan risalah yang semakin rencam ini. 


Jawami'u al Kalim 

" perkataan Nabi s.a.w itu semuanya jelas, jika Nabi s.a.w berkata maka semuanya memahami "

" aku diutuskan dengan jawami'u al kalim "

Kagum kita dengan keindahan pertuturan, pemilihan perkataan dan uslub yang menjadi kelaziman Baginda s.a.w dalam berinteraksi dengan manusia di sekitarnya. Baginda s.a.w apabila bercakap, perkataannya ringkas dan padat.

Ringkas dan padat, mendefinisikan jawami'u al kalim.

Ia tidak memerlukan ayat yang berjela-jela, kalimah yang mencapah dan terlalu bombastik untuk menyampaikan idea. Kita, atau paling kurang Saya sering sahaja berlaku kemalangan dalam perkataan dan penulisan. Walhal, mesejnya mudah sahaja tetapi gagal disampaikan dengan mudah. Lebih kalam dari fikrah, itu adalah satu keniscayaan dalam sebuah amal kerana kita culas mendokong aspirasi al Banna apabila menyebut bahawasanya medan amal itu lebih utama dari kata-kata.

Mungkin sahaja, kata kata yang ringkas dan padat adalah juga sebuah sunnah. Kerana sahabat-sahabat menuruti sunnah jawami'u al kalim. Para ulama' turut memanifestasinya melalui penulisan matan ilmu, al Banna mungkin sahaja punyai justifikasi yang sama apabila melihat keratan risalahnya yang ringkas dan padat itu. 

Sepanjang penulisan, saya akan belajar menuruti sunnah jawami'ul kalim yang semakin pudar dihayati zaman ini.


Mengejar Sempurna

Apabila berkongsi, saya memaksudkan berkongsi pandangan bukan pengalaman. Saya masih bertatih, terutama di dalam amal dakwah dan tarbiyah. Terlalu muda untuk memberi hikmah, bahkan terlalu sedikit memiliki untuk memberi. 

Baik anda mengenali saya ataupun tidak, mari sama-sama bertekad mengejar kesempurnaan. Tanpa menafikan tanggungjawab berkhidmah, kerana sempurna itu bukan destinasi sebaliknya sebuah orientasi untuk mengkoreksi.

Bagi para penunggu sempurna, anda sedang berada pada dua kemungkinan. Samaada kematian datang dan anda tidak sempurna, atau anda akan sempurna pada suatu hari kelak. Kita tahu, bahawa utopia kesempurnaan ini bukan budaya yang baik untuk beramal.

Dua kalimah; Istiqamah dan Mujahadah, istiqamah dalam amal dan mujahadahlah untuk meningkatkan kualiti amal.


Langkah Bermula

Di tangan anda ini adalah himpunan risalah, saya susunkan apa yang saya belajar dari 20 tahun terawal hidup. Sekolah kehidupan itu lebih luas dari sekadar empat penjuru bilik darjah, tidak dikongkong oleh buku silibus empat segi. Semua yang dicoretkan bukan milik saya, melainkan ia adalah milik Allah s.w.t yang memberi anugerah ilham dan mengaturkan peristiwa yang maha mematangkan datang perjalanan hidup.

" tiada kemahuan dariku melainkan al islah, dan tiadalah untukku pemberi taufiq kecuali Allah. pada Nya aku bertawakkal dan aku kembali " Hud : 88

Selamat membaca, demi pena dan apa yang ia tintakan.

No comments: