Antara syarat menikmati seerah adalah kita membaca keseluruhan cerita , urutan peristiwa dan merealiti seerah kepada situasi semasa.
Berlaku khilaf pada tarikh tepat berlakunya Isra'a dan Mi'raj, kesimpulannya para ilmuan sepakat meletakkan peristiwa agung ini diantara dua peristiwa di dalam seerah ;
Sebelum peristiwa Isra'a dan Mi'raj, para muslimin telah mengharungi cabaran awal risalah seperti penyiksaan fizikal dan mental, pengepungan 3 tahun yang memaksa muslimin memakan dedaun kering asbab kebuluran dan sebagainya. Begitu juga kematian Khadijah r.a dan Abi Thalib serta peristiwa dakwah Tha'if yang dikhianati.
Selepas peristiwa Isra'a dan Mi'raj pula, berupa lembaran baru di dalam seerah. bermula dengan bai'ah aqabah pertama dan kedua, kemudian hijrah ke Madinah.
Apa ibrah berlakunya Isra'a dan Mi'raj? Apa kesinambungan antara peristiwa sebelum dan selepasnya?
II
Peristiwa Isra'a dan Mi'raj dicatatkan dalam beberapa riwayat hadis antaranya adalah sebuah riwayat panjang yang masyhur dan sahih adalah dari Anas ibn Malik ibn So'so'ah, diriwayatkan di Sahih al Bukhari.
tanpa memanjangkan riwayat hadis tersebut di sini, kita semua dapatlah menyimpulkan bahasa peristiwa Isra'a dan Mi'raj ini kaya dengan pelbagai kisah ghaib. bermula dari perjalanan menaiki Buraq ke masjid al Aqsa sehinggalah bertemu Allah s.w.t di Sidratul Muntaha.
" .. untuk Kami perlihatkan kepadanya ayat ayat Kami .. " al Isra'a : 1
Sinonim dengan fokus risalah di era Makkah, isu Iman adalah persoalan utama dalam peristiwa Isra'a dan Mi'raj.
Iman? tidak cukupkah pengorbanan dan kecekalan para Sahabat r.anhum dan Rasulullah s.a.w menghadapi siri siri penyiksaan dan kezaliman pada peringkat awal dakwah sebagai bukti Iman? Mengapa Isra'a dan Mi'raj perlu berlaku?
III
Iman adalah kekuatan terutuh dalam perjuangan risalah, Iman adalah batu asas dalam pembangunan sebuah tamadun.
Isra'a dan Mi'raj adalah kemuncak keimanan para Muslimin, seakan akan sebagai tapisan terakhir dalam kalngan Muslimin. kerana perjuangan risalah akan menjadi lebih mencabar selepas Isra'a Mi'raj.
Berlaku selepas itu,
Hijrah ke Madinah,
yang menuntut Muslimin meninggalkan segalanya.
Peristiwa peristiwa perang,
yang mereka benci pada asalnya, yang mereka hadapi kadang kala adalah ibu ayah mereka sendiri, saudara mara dan sahabat handai.
Pensyari'atan Ibadat,
puasa, zakat, hijab, hukum had dan qisas, haji.
Kesemua peristiwa ini yang memandunya adalah wahyu, keimanan yang mendalam terhadap wahyu telah menutup ruang ruang keraguan terhadap sebarang arahan dan larangan yang berlaku selepas Isra'a dan Mi'raj.
IV
Para Sahabat r.anhum mungkin sahaja tidak terfikir untuk memberi pelbagai alasan kelemahan persenjataan apabila diseru keluar ke medan Badar untuk menghadapi Musyrikin, bahkan dengan yakin menghunus pelepah tamar ke batang tengkuk musuh.
Mereka r.anhum tidak memerlukan hujah hujah saintifik untuk mengiyakan pengharaman arak, tidak memerlukan sifir sifir sosial untuk mendokong hukum had dan qisas, jauh sekali perkaitan positif negatif untuk merapatkan saff ketika solat berjemaah.
Yang mereka faham adalah, tunduk dan akur terhadap apa sahaja yang diarahkan. Tiada sumber yang lebih mulia dan tinggi dari nas, Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Iman ini adalah hasil daripada peristiwa peristiwa penting yang telah berlaku sebelum itu, Isra'a dan Mi'raj adalah salah satu daripadanya.
V
Mari membumikan utopia seerah, supaya kita nampak ia adalah perjalanan seorang yang juga manusia sebagaimana kita, justeru kita jadi faham bagaimana ingin merealiti Isra'a dan Mi'raj pada hari ini. Ia tidak mustahil, kerana sepanjang 1000 tahun, para penerus risalah telah melaksanakannya. Inilah dua kekuatan yang kita adalah sebagaimana yang dinyatakan Syed Qutb dalam Haza Addin ; Raseed al Fitrah (Sumber Fitrah) dan Raseed al Tajrubah (Sumber Sejarah).
Malaysia kebelakangan ini menghadapi krisis sosial yang semakin mencabar, isu perlaksanaan hudud, sindiran perkauman dan percaturan jijik politik menjadi rencah ampuh kepada segala kakalutan ini.
Bukan untuk menjadi simplistik, tetapi lebih kepada cuba menjadi realistik agar semua dari kita dapat berperanan dalam pembangunan sebuah Malaysia.
Di manakah silapnya apabila penentangan terhadap hudud berlaku baik dari kalangan non-muslim ataupun muslim sendiri? Apakah puncanya? Ibrahnya?
tolehlah kebelakang dan telitilah latar masyarakat Muslim ketika pensyari'atan had dan qisas dilangsungkan, mereka adalah masyarakat Muslim yang telah melalui tempoh pembangunan Iman yang sangat mencabar, sehinggalah melepasi peringkat Iman lewat peristiwa Isra'a dan Mi'raj ! Mereka ada struktur sosial yang utuh, slogan Islah ya'lu wa la yu'la 'aleyhi tidak lagi tampak retorik, ada perlembagaan negara, ada persefahaman yang jelas antara Muslim dan non-Muslim
Kisah wanita Ghamidiyah yang minta dihududkan antara kesan dari siri pembangunan Iman ini.
Tanpa menyalahkan mana mana pihak, dan meraikan ijtihad politik mereka .. mari sama sama kita tujukan persoalan ini jauh ke dalam hati masing masing ;
Adakah kita telah benar benar menghayati dan mengimani peristiwa Isra'a dan Mi'raj?
No comments:
Post a Comment