Sunday, July 28, 2013

Himpunan SH si anak

seorang anak sedang buat syahadatul haq , saya nak simpan buat kenangan .
bila dia dah besar nanti nak tunjuk pada dia , inilah yang pernah berlaku pada dia ..

nikmatilah SH mu hai anak
Abi perhati kamu dari jauh , tumpang like sahaja
selagi semangat ada , luahkan apa yang anak rasa .. ceritakan indahnya Islam pada dunia

tak pasti apa anak ini nak buat , masih in progress . saya akan update dari semasa ke semasa di entri ini juga , tak berniat nak pecah pecahkan posting susah nak reach semula

ok , bismillah .. semoga ada manfaat

Bahagian I

"Zam, aku rasa aku nak berdakwah lah", kata Lah tiba-tiba, dengan suara yang seakan berbisik, muka yang berkerut serius, jelas nampak kesungguhannya disitu.

Zam yang sedang menghirup jus tembikai panas hampir tersedak. lantas mengambil 2 helai tisu di atas meja untuk cover mulutnya, mengelap sisa jus tembikai panas yang tersembur kecil, lagaknya seperti mengelap mulut selepas baru menjamah dessert yang mahal.

"hang ni apasal Lah...tiba-tiba macam ustaz nih", jawab Zam diiringi ketawa kecil, kemudian menyambung menghirup jus tembikai panas yang berbaki suku gelas besar, tidak peduli dengan keseriusan kawan baiknya itu.

tiba-tiba lalu dua orang gadis bertudung, berjubah labuh berjalan melintasi meja makan mereka. cepat-cepat Zam mengeluarkan Samsung Galaxy sII nya yang dipinjam, menekan-nekan skrin seakan sedang sibuk, dan supaya terserlah yang beliau seorang yang cakna dengan kemajuan ict ini. sambil menekan skrin sII yang kehabisan bateri, ekor mata Zam tidak lepas daripada memandang dua gadis tadi, sehingga hilang daripada pandangan.

"fuh...gadis melayu terakhir Lah...mana nak cari sekarang ni...tutup aurat, lemah lembut, aku syak mesti depa pandai masak ni", komen Zam sambil tersengih keseorangan. Lah diam sahaja. matanya dari tadi tak lepas memerhati gelasnya.

"ok, cukup...mai habaq apa masalah hang. selalunya pantang ada awek-awek dressing ustazah lalu, hang la mat romeo no 1...tadi ada dua ustazah cun, hang tak kalih sikit pun...apa masalah hang ni, cuba cerita kat aku selaku kawan baik dunia akhirat", Zam mula hairan dengan perubahan sikap Lah.

"Lah, hang tau tak...Allah kata dalam Quran, ((Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka))...sadaqallahul azim", balas Lah tenang, lagaknya seperti sang ustaz dalam rancangan tanyalah ustaz tv9, cool dan tiada riak di wajahnya. namun dalam hati siapalah yang tahu.

suasana tiba-tiba senyap seketika. seolah-olah alam turut terkejut dengan apa yang diungkapkan Lah sebentar tadi. senyum Zam terus menghilang, perlahan-lahan tangan kanannya menyentuh dagu, tangan kirinya memegang bucu meja sambil bahunya disenget sebelah, cuba menghadam kata-kata Lah sebentar tadi.

mata mereka bertemu. Zam pelik, adakah dihadapannya Lah yang dia kenali. kawan rapatnya yang selalu lepak bersamanya, yang menjadi kutu rayau bersamanya sejak sekolah rendah lagi, yang bersama-sama berjanji untuk tidak mempunyai wawasan sehingga menjelang tahun 2020.

"Lah...hang ni...", tersangkut-sangkut suara Zam ,cuba merungkai persoalan yang ada, "setahu aku muqaddam pun tak lepas...sejak bila hang hafal quran ni".

Lah menarik nafas panjang, dengan selamba dia mengangkat tangan menunjuk arah ke belakang Zam. Zam menoleh ke belakang. di dinding, terpampang besar banner kempen sifar couple anjuran kelab kebudayaan kampung mereka, tertulis panjang terjemahan surah an-nur ayat 30.


Bahagian II


"hang ni buat kemaih boleh...mati-mati aku ingatkan hang baru transform jadi pak ustat...hahaha", gelak besar Zam, alah...setakat baca terjemahan kat dinding adik aku pun boleh...fikirnya. digoncang-goncang gelas besar jus tembikai panasnya, bunyi ais ketul berlanggaran sesama sendiri, tanda jus sudah habis. lantas Zam mengangkat tangan melambai-lambai memanggil pelayan kedai yang asyik bermain game dalam handphonenya sejak mereka tiba lagi.

“adik…ooo adik…tambah air dik”, panggil Zam, budak kecil yang sedang khusyuk main game itu lantas meletakkan handphone atas meja kaunter pembayaran, dan berjalan terus ke meja makan Lah dan Zam.

“tambah satu jus tembikai panas…tapi nak gelas kecil”, kata Zam. Sempat juga perasan dua tiga pasang mata pelanggan yang turut berada di situ memerhatinya, ada yang tersenyum. baru Zam sedar,termasuk pesanan kali ini, sudah 2 gelas besar 1 gelas kecil jus tembikai panas yang dipesannya, ditambah lagi dengan sepinggan mee goreng basah yang sudah habis.

“tu untuk kawan abang ni…kalo abang cukuplah…tak mau pesan apa-apa…tuhan ajar berhenti sebelum kenyang…kan dik?”, sambung Zam dengan nada suara yang ditinggikan sikit, untuk cover malunya. Lah yang memang sudah masak dengan teknik kawan baiknya itu hanya tersengih sambil geleng-geleng kepala.

“adik…darjah berapa sekarang?” soal Lah yang dari tadi hanya mendiamkan diri.

Dengan pantas budak lelaki itu menunjukkan nombor 3 dengan jarinya, dengan penuh bergaya. Tak pasti dia bangga dengan umurnya atau mahu menunjuk-nunjuk jam tangan ben10 yang hampir sama besar dengan penumbuknya itu.

“ohh…sudah darjah tiga…orang kalo darjah tiga mesti dah pandai…kan?, soal Lah kemudiannya, serentak dengan soalan itu Zam pun kerutkan mukanya,merasa pelik mengapa tiba-tiba Lah memuji budak kecil itu, cuba memikir-mikir apakah modus operandi beliau.

Budak kecil itu mengangguk-angguk kepalanya dengan semangat tanda 101% bersetuju.

“Kalo pandai cuba adik kuatkan sikit volume berita kat tv tu…skrinnya abang tengok adala kecik sikit daripada peti ais rumah abang…tapi suara halus bebenor…dari tadi abang tengok ramai orang dok kumpul atas jalan raya, angkat-angkat sepanduk dalam tv tu…ada konsert Raihan gabung Search ke apa?”, jelas Lah panjang lebar.

“ok…”, jawab budak laki itu dengan riang, sambil mengangkat kedua-dua ibu jarinya lantas tersenyum, menampakkan jelas ketiadaan dua gigi hadapannya. Dengan pantas dia kembali ke kaunter pembayaran, mencapai remote control dan menekan-nekan button up volume.

“Sekurang-kurangnya 92 orang mati dan beratus-ratus cedera dalam pertempuran di Kaherah selepas pasukan keselamatan menyerang penyokong Presiden Mursi, Kementerian Kesihatan Mesir memberitahu RT Arab. Walau bagaimanapun, Ikhwan Muslimin telah meletakkan angka kematian melebihi 200 orang. Mangsa telah mengambil bahagian dalam perhimpunan pro-Mursi ketika mereka diserang oleh pasukan keselamatan, Ikhwan mengatakan. Mereka menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan aktivis, Kementerian Dalam Negeri Mesir telah mengesahkan”, tiba-tiba suara pemberita tv3 jam 8 malam, Izwan Azir Salleh bergema di seluruh ruang kedai makan. Semua pelanggan yang ada hampir serentak berhenti berbual, masing-masing merenung menghala ke tv, fokus terhadap berita malam itu.

"Mereka tidak menembak untuk melukakan, mereka menembak untuk membunuh,kata jurucakap Ikhwan Muslimin Gehad El-Haddad berkata kepada Reuters, dan berkata bahawa penunjuk perasaan telah terkena tembakan di kepala dan dada...sekian berita disunting daripada page fb ‘Mesir Kini’...sila klik like untuk mengikuti perkembangan lanjut”, sambung pemberita itu lagi.

Kemudian berita diselangi dengan gambar-gambar keadaan mangsa yang terlibat dalam perhimpunan. Ada yang luka di tangan, ada yang ditembak tepat mata kanan, ada juga gambar luka parah di kepala.

Suasana gerai makan senyap sunyi seketika, perasaan sedih dan simpati jelas mengelubungi setiap orang di situ ketika ini, dipancarkan melalui wajah-wajah mereka. Ada yang berkerut seribu sambil muncung mulut memikirkan entah apa, ada yang ambil tisu mengelap air mata yang sipu-sipu malu jatuh, tak kurang juga yang menjadi reporter tak bertauliah mengulas isu mesir ketika ini dengan penuh semangat kepada rakan-rakan mereka.

Tidak kurang 15 saat kemudian, berkumandang pula lagu selamat hari raya nyanyian Faizah Joned.

Suasana kembali ceria, para pelanggan kembali gelak ketawa dan bergurau senda. 


bersambung ..

No comments: