Wednesday, October 19, 2011

bulatan riang ria : of Yakinlah dengan-Nya



"Kir, jangan lupa kejutkan Li sekali esok. Sebab Li pun nak tengok cerita Power Rangers." 

Lebar senyumanku terukir sebelum kulabuhkan tubuhku menyelinapi selimut tebal. Hangat tubuhku berjaya mendamaikan jiwa kecil ini. Maka lenalah malam itu seorang anak kecil Islam yang asyik dalam mengagungkan dunia khayalannya itu.

Geli hatiku setiap kali mengimbas kembali kisah kehidupan silamku. Sedar tidak sedar, itulah cerita semalamku. Cerita yang masih segar dalam ingatanku. Cerita benar seorang yang kini masih dibentangkankan sebuah peluang yang luas. Peluang emas untuk terus mengerahkan tenaga bagi menggalas sebuah amanah yang suci.

Kelakar? Ketawalah kerana memang itulah matlamat yang kutanamkan dalam jiwaku. Tidak perlulah kuceritakan betapa buasnya aku dan abang bersenda-gurau melakonkan adegan ganas aksi para pelakon filem berjuang bermati-matian cuba menewaskan pihak lawan masing-masing.

Tap! Tap! Tap! Jarum jam terus bergerak. 

“Ah! Li dah ada kat Jordan,”

Lamunanku terhenti. Tiupan bayu Syitak yang lembut membelai tubuhku manja. Bau enak nasi goreng berjaya merangsang receptor hidungku membuatkan sel otakku semakin ligat berfungsi. Saat itulah sebuah poster besar bertuliskan tulisan Khat kemas ‘Lailahaillallah Muhammadarrasulullah’ mencuri tumpuanku.

Ya Allah, sejauh manakah aku berasa yakin dengan ayat-ayat-Mu. Sekukuh manakah keyakinanku terhadap kewujudan-Mu. Sekuat manakah tenaga yang kukerah ikhlas demi mengukuhkan nama-Mu di mata teman-temanku. Hatiku mulai berketar. Apa tidaknya, berapa banyak kali diriku tumbang saat melafazkan kalimah suci cuba menjinakkan hati teman-temanku.




Uhhh! Mataku kupejamkan rapat, cuba mengumpulkan chakra bagi mendamaikan kegelisan hatiku ini. Gagal. Mari sini kubentangkan sedikit daripada ayat-ayat yang pernah membuat diriku beku kaku tidak terkata.

“Woi sombong, kau fikir Ustazah selalu puji kau tu maknanya kau tu hebat sangatlah!”

“Woi anak Rushdi, jangan ingat kau tu baik sangat nak tegur aku.”

“Misai dahlah panjang. Hahaha!”

“Blahlah Mat Jawa Penipu.”

“Dahlah kawan-kawan, jangan kawan ngan dia.”


Sudah! Cukuplah dengan memori-memori lamaku itu. Pedih. Masih lagi dapat kuingat betapa kosongnya jiwa aku ketika itu. Apa tidaknya, teman-teman baik sendiri sanggup mencakar sebuah persahabatan yang erat terbina. Sakitnya menusuk hati, dalam. Sehinggakan kadang-kala sinaran cahaya sang keyakinan menjadi pudar, kelam.

Alhamdulillah. Manisnya semangat persaudaraan di Jordan ini. Harumnya udara malam ini. Indahnya kehidupan ini. Aku masih di sini. Masih lagi mampu berdiri. Hatiku masih lagi mampu menyanyi.

Ya Allah, andai kata tahun ini merupakan tahun terakhirku, izinkanlah aku untuk memeluk dahulu teman-temanku itu sambil melihat mereka tersenyum redha dengan Islam.

Ya Allah, andai kata bulan ini merupakan bulan terakhirku, izinkanlah aku untuk menulis sebuah puisi cinta buat teman-temanku agar mereka tahu yang aku akan terus menyayangi mereka.

Ya Allah, andai kata ini merupakan hari terakhirku, izinkanlah aku untuk menitiskan air mata memohon keampunan-Mu demi mengurniakan rahmat dan hidayah kepada mereka.

Ya Allah, saat ini, biarkanlah para malaikat mencatatkan janjiku ini. Janji untuk terus mengukuhkan tiang-tiang keyakinan dalam jiwa. Demi meneruskan amanah ini. Iaitu warisan para nabi untuk terus berdakwah. 


[ apat ]


komen dari Akhi - terharu ..  

No comments: