Sunday, June 22, 2014

المراجع المصطلحات

أولاً: ما كُتِب في الاصطلاحات عامة، فمن ذلك:

1- "التعريفات"؛ للشريف الجرجاني (816 هـ).
2- "الكليات"؛ لأبي البقاء الكفوي (1094 هـ).
3- "كشاف اصطلاحات الفنون"؛ للتهانوي (بعد 1158 هـ).

ثانيًا: ما كتبه المتقدمون في مقدمات مؤلفاتهم الأصولية، فمن ذلك:

1- كتاب "العدة"؛ للقاضي أبي يعلى الحنبلي (458 هـ).
2- كتاب "إحكام الفصول"؛ للباجي (474 هـ).
3- كتاب "التمهيد"؛ لأبي الخطاب الكلوذاني (510 هـ).
4- كتاب "الواضح"؛ لأبي الوفاء ابن عقيل (513 هـ).

ثالثًا: ما كتبه المتقدمون استقلالاً:

1- "الحدود في الأصول"؛ لأبي بكر ابن فورك (406 هـ).
2- "الحدود"؛ للباجي (474 هـ).
3- "الحدود الكلامية والفقهية على رأي أهل السنة الأشعرية"؛ لأبي بكر محمد بن سابق الصقلي (493 هـ).
4- "حدود أصول الفقه"؛ لسعد الدين التفتازاني (792 هـ).
5- "الحدود الأنيقة والتعريفات الدقيقة"؛ لشيخ الإسلام زكريا الأنصاري (926 هـ).

رابعًا: ما كتبه المعاصرون استقلالاً:

1- "معجم مصطلحات أصول الفقه"؛ د. قطب سانو.
2- "الفتح المبين في تعريف مصطلحات الفقهاء والأصوليين"؛ د. محمد إبراهيم الحفناوي.
3- "معجم أصول الفقه"؛ أ. خالد رمضان حسن.
4- "المعجم الجامع للتعريفات الأصولية"؛ د. زياد محمد حميدان.
5- "معجم اصطلاحات أصول الفقه"؛ أ. عبدالمنان الراسخ.
6- "موسوعة مصطلحات أصول الفقه"؛ د. رفيق العجم.
7- "القاموس المبين في اصطلاحات الأصوليين"؛ د. محمود حامد عثمان.
8- "مصطلحات علم أصول الفقه"؛ د. خلف المحمد.


Saturday, June 21, 2014

#TRAVELOG : Tentang Haramain 1

Menyemak kembali air mata haramain, 
Dan esakan Multazam yang menyesak dada, 
Serta, seluruh janji manis dan impian, 
Agar bergelar abdan syakura,


Aku, telah memilih untuk menunaikan umrah dua kali di Jordan. Itu aku azamkan sedari merancang buat kali pertama di semester terawal selaku mahasiswa Jordan. Kemudian menjelang semester terakhir, aku diizinkan menunaikan sekali lagi seperti yang dirancang.

Alhamdulillah, anugerah ini cukup istimewa buat seorang warga Malaysia yang mastautinnya jauh nun di Tenggara Asia. Aku kira, wang yang ditabungi sedari lahir di Tabung Haji hanya dituai mungkin 10 tahun atau 20 tahun dari tarikh aku mencatit entri sederhana ini. 


Imam

Sallahuddin al ayyubi, wirawan pembukaan semula al Quds yang tawadhu' itu terlebih dahulu menjadi imamku dalam ekspedisi Haramain ini. Beliau pergi menemui Allah s.w.t, dan impiannya untuk menjejaki Haramain untuk menunaikan haji tidak tercapai. 

Apapun ulasannya, aku meyakini bahawa Sallahuddin al ayyubi terlebih dahulu telah meneliti sabdaan baginda s.a.w apabila mengatakan, "iman kepada Allah dan Rasul Nya," begitu jawabnya apabila Abu Hurairah mengajukan soal sebaik-baik amal, "kemudian berjihad di jalan Nya, kemudian Haji yang mabrur".

Ah, sungguh aku jadi cemburu dengan riak gagahmu Salahuddin apabila memilih untuk bersakit-sakitan menunggang kuda, kemudian mengerahkan para Muslimin mensucikan kota al Quds dari kotoran tentera Salib.

Ibn Mubarak juga sosok qudwah yang baik, apabila mengirim sebuah makalah teguran buat Fudhayl ibn Iyyadh lewat ibadahnya di Haramain sedang para Muslimin sedang melakukan ar Ribath di persempadanan Syam-Rom. 

Wahai hamba dua tanah haram (Haramain), 
Jika engkau melihat kami, 
nescaya engkau akan dapati, 
Bahawa engkau, sedang bermain main dalam ibadah,

Ia contoh yang ringkas, diriwayatkan agar generasi baru bisa ambil muhasabah. Apakah nilai sebenar sebuah ibadah? atau yang lebih asas, apakah yang memaknai sebuah ibadah? 

Bagaimanakah rupanya sebuah umrah, apabila antara dua umrah diampunkan semua dosa. Bagaimana pula haji mabrur, yang tiada ganjaran padanya kecuali syurga? 


Tanda Ubudiyah dan Istikhlaf

Hamba, frasa paling mendasar dalam suai kenal ciptaan tuhan bergelar manusia ini. Kosa kata menjadi semakin kaya, dengan menyerahkan kepada pencipta untuk memperkenalkan siapakah itu manusia. Allah, dengan sifatnya yang Rabb (pemelihara), Ilah (tunggal) dan Hakim (pemerintah).

Wahai yang memelihara diriku, aku tiba di Haramain selaku hamba Mu. Lantaran itu surah al Fatihah telah menggunakan ar Rahman kemudian ar Rahim, sebagai perkataan pertama di dalam turutan mashafmu  Kemudian lewat perenggan kesyukuran, kepada Rabbal 'alamin.

Begitu kerapnya di peringkat awal Aqidah mendesakkan satu jiwa itu untuk benar benar mengenali tuhannya terlebih dahulu sebagai pemelihara, penyayang, pemberi cahaya, pembimbing. Dengan itu, Muhammad s.a.w menjadi tenang untuk tampil di bukit sofa justeru menawarkan Iman terhadap Allah kepada perkumpulan banu Quraisy. Abu Dzar menjadi rela dibelasah, Bilal dan keluarga Yassir tidak putus berzikir walau dihambat ruh mereka agar keluar dari jasad oleh pembuli bengis, pemuka Quraisy.

Wahai yang tiada persekutuan, aku tiba di Haramain dengan munajat kepada Mu. Hanya kepada Mu, tiada tarikan lelongan jubah murah di Pasaraya Ben Dawud, bukan rangup ayam goreng al Baik, apatah lagi keindahan seni bina Jam Di-Raja yang cukup hampir dengan Masjid al Haram itu. Sungguh langkahku ke sini hanya untuk berkhalwah syu'uriyah dengan Mu. Aku tak punya syahwat kepada keindahan dunia, cukup bersuhbah dengan Mu.

Barangkali, dengan satunya pusat tujuan, berpusatnya sebuah orientasi amal, itulah yang menatijahkan barakah dalam tindakan. Amal menjadi Rabbaniyah, kegagalan menjadi tidak melukakan, musibah menjadi pemangkin syukur, kesusahan menjadi kekuatan baharu. Apakah ada mafsadah, apabila engkau punyai Allah yang sentiasa memberi maslahah kepada hamba Nya? Inilah bekal Ka'b ibn Malik lantas tabah menghadapi pemulauan seraya diampunkan dosanya, ini bekal Mus'ab ibn Umair apabila siap mengetuk sekalian pintu di Madinah agar warganya kembali mentauhidkan pencipta.

Wahai yang memberi keputusan dan hukuman, aku tiba di Haramain untuk mengkoreksi kembali kadar serah diriku pada syari'atmu, untuk menghitung usahaku untuk meningkatkan potensi merealitikan syari'at di muka bumi. Hakimiyah Mu yang sering kali tidak dipeduli adalah impianku, aku tidak memahami sifat aqidah kosong, menghadkan tugas tuhan sebagai kaunter tiket ke syurga dan menghapuskan dosa tetapi culas dalam menyerahkan urusan hidup kepada arahan Nya. 

Aku siap menjadi asbab kembalinya bumi ini di bawah rahmah Hakimiyah Mu, dari urusan peribadi sehingga ketata-negaraan.

Ini adalah kacamata yang aku pakai, dalam timbang semak sebuah amal.


Tentang Haramain

Tentang Haramain, aku mencatitkan nota nota penting yang akan selalu menegurku, pemberi semangat baharu. Aku mesti selalu ingat, bahawa di situlah aku pernah berikrar dan bersumpah setia. 

Tentang Haramain, aku bawakan dalam bentuk lembaran bercatit dari sekadar berada di legar khayalan dan kotak memori. Menggantikan kalamku yang terhad, kelibatku yang terbatas sehingga aku menuju ke temanku yang terutama (rafeeqi al a'la) kelak.

Tentang Haramain, kita belajar memaknai kehidupan.



Sunday, June 15, 2014

#KONGSI : Radio al 3ahd

Kiranya, 

media antara titik lemah yang menghantui mana mana harakah dakwah. Di balik fasih hujahnya, optimis perjuangannya dan tegar pendiriannya, malang sekali imejnya pudar dan tidak bermaya.

Keutuhan fikrahnya digambarkan sebagai runtuhnya wibawa,
Kerukunan tilawahnya digambarkan sebagai ritualnya harakah,
Tadhiyah dan lirik basatah digambarkan sebagai sosok ekstrimis dan fundamentalis.

Semuanya jadi tidak kena.

"Laksana pahlawan hilang senjata", begitu Abu Ammar memberi logik.

Di antara dua tebing, realiti semasa dan ideal, ada sungai harapan dan cita-cita. Semoga generasi baru harakah ini mahir melangkah, mengambil segala asbab sebuah tamkinu al ummah. Agar kedua tebing ini mendekat, menjadi tanah yang bersambung rapat.

Media, anak seni sepatutnya menyedari itu logam yang penuh erti.

Saya temui corong radio berikut pada awal tahun ini, diselenggara oleh sebuah syarikat penyiaran beribu pejabat di Damsyiq. Khabarnya milik Ikhwanu al Muslimin di Syria. 

Fikrahnya terlalu hampir, bahkan bermuara yang sama. al Islam as Somimah di bawah alamat yang ditandakan al Banna lewat penutup risalah ta'alimnya; Basatoh, Tilawah, Solah, Khuluq dan Tadhiyah.

Inilah imej dakwah yang perlu dimainkan oleh media!

Memperkenalkan siaran al 3ahd,


Setakat kini, saya paling meminati siri 'Udzama' 'ala Thoriqi ad (Para Pejuang atas Jalan Dakwah) yang kini sudah memasuki siri ke 5 melalui kisah perjuangan Marwan Hadid. 

Layan!

Monday, June 9, 2014

#BUKWIT : KISAH FEQH 1

I

Ada keindahan yang agung dalam subjek Feqh, dan usulnya.

Ia bukan ilmu teknikal dan terlalu ilmiah, ia bukan semata-mata pembukuan karya warisan berbahasa Arab yang berjilid jilid, tidak pula sekadar menghafal matan-matan, bukan mengsakralkan syuyukh dan kutub turath. Ia tidak juga hak kepada golongan ustaz dan ulama'.

Ia adalah sebuah perjalanan, al maseerah.

Feqh adalah sebuah manifestasi kecintaan para Muslimin sepanjang zaman terhadap risalah yang diwariskan Muhammad s.a.w. Mereka mati kerananya, mereka sudi bujang untuknya, redha berlebam mata dan kejang tangan untuk mendokumentasi faktanya.


II

Makna feqh itu sendiri sudah indah, ia memberi erti faham.

Bahkan sang bayi pun menjadi celaka, jika tidak mengerti beza susu dan cuka. Apatah lagi sang pembawa risalah, yang disematkan di dadanya Aku Berbangsa Muslim. Mereka perlu dihadapan dalam nuansa faham, mereka perlu paling faqih.

Barangkali, itu sebab yang memahami ini mendapat kebaikan khusus dari Rabbnya.

"Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan," begitu sabda Baginda s.a.w, "Allah akan menjadikan dia faqih (faham) tentang agamanya" 

Begitu juga pengertian hadith logam yang memberi penekanan pada predikat "jika dia faham", sebagai prasyarat terpilihnya seseorang baik jahiliyahnya mahupun Islamnya.


III

Seorang faqih, ada petandanya. Ada senarai pembuktian yang boleh menjadi rujukan. Ia difahami dari surah ali Imraan pada ayatnya yang ke sebelas,

"kalian adalah khaira ummah (sebaik baik ummah), yang dibangkitkan kepada sekalian manusia. Mengajak kepada yang dituntut, dan mencegah dari yang dihalang, dan beriman kepada Allah"

Ia tidak lari dari konsep asal kehidupan, sifirnya

Semakin faham tentang Islam, semakin tercapai tujuan hidupnya

dan begitulah sebaliknya, jika dia bukan seorang faqih. lemah nyalaan impiannya, dia tidak manusiawi, dia lupa memberi harapan kepada pendosa, hidupnya berdagingkan al hawa walaupun kulitnya adalah kuotasi sarjana Agama.


IV

Selari dengan petanda manusia, ubudiyah (mengabdi) dan istikhlaf (melaksana tugas pengganti Nabi s.a.w).

Selaksana itulah tanggungjawabnya seorang faqih, dia sedang beribadah melalui kajiannya seraya menjadi khalifah sejati.

Agar risalah ini memberi rahmatnya buat sekalian makhluk, kerana yakin bahawa pemilik risalah ini paling memahami keperluan hambanya, paling tepat timbangannya, paling cekap semakannya.

Setelah ia beraksi, ia lantas fasih berkata; "agar ini menjadi alasanku di hadapan Allah kelak, dan supaya kalian bertaqwa" al a'raf : 164






Thursday, June 5, 2014

#KHATIRAH : SEMARAKKAN RAMADHAN

I

Aiwah, semakin dekat.

Berdoalah selalu, agar kita dipertemukan dengan Ramadhan dalam kesihatan yang menyegarkan. Supaya mampu ditarbiyah dan memberi khidmah dengan maksimum sepanjang Ramadhan.

"Allahumma berkati kami pada Rajab dan Sya'ban, serta temukanlah aku dengan bulan Ramadhan" 

dan sejurus tiba di garis mula Ramadhan, angkatlah tangan dengan rendah diri, "Allahu Akbar, Allahumma jadikan Ramadhan kami bermula dengan penuh iman dan keamanan, dengan kesejahteraan, seiring dengan apa yang Engkau redhai", begitu Ibnu Umar meriwayatkan.



II

Sapalah saudaramu, sahabat sekuliah dan teman teman atas talian. Ingatkan mereka atas ketibaan Ramadhan yang mulia ini. 

Begitulah sunnatan hasanah, yang Baginda s.a.w wariskan pada kita.

bahawa beliau s.a.w, apabila menghampiri Ramadhan lekas-lekas mengingatkan para sahabat r.anhum, "telah tiba bulan Ramadhan, bulan yang mulia al Mubarak, Allah s.w.t telah mewajibkan padanya puasa, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka"

Para salafu as soleh menuruti sunnah yang indah ini, mereka semua bergembira dengan ketibaan Ramadhan.

Jangan ketinggalan untuk menyambut ketibaan Ramadhan!



III

Rasa murung dengan lambakan dosa dan kesilapan? Lemah dan putus asa untuk berubah?

Bukankah rahmat Allah s.w.t mendahului kemarahan Nya?

Mari manfaatkan Ramadhan sebagai sekolah perubahan!

"siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, dengan iman dan mengharapkan pahala maka diampunkan dosanya yang lalu"



IV

Tahukah anda?

bahawa Habib Bourghiba, mantan Presiden Tunisia yang mengasaskan era moden di negara tersebut pernah secara langsung menyatakan bahawa puasa Ramadhan telah melemahkan produktiviti negara. Lantas menyeru kesemua pekerja untuk berbuka puasa, pada Ramadhan 1961!

Hmm,

Tahukah anda?

bahawa perang Badr al Kubra, Pembukaan Andalus, Pembukaan Antakia, Pembukaan as Sanad, Pembukaan as Soqliyah oleh Asad bin Furat, Pertempuran Ain Jalut lantas kemenangan Muslimin ke atas tentera Mongol, Perang Mesir-Israel lewat krisis Sinai, Pembukaan Makkah dan banyak lagi peristiwa perjuangan dan kemenangan Islam berlaku, juga pada bulan Ramadhan!

ini terlalu, BOB.

Wednesday, June 4, 2014

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 6/6

Hujah ke atas pendalilan yang mengharamkan:

1. Sebagaimana ziarah ini memberi sumbangan material kepada Zionis, begitu juga sumbangannya kepada Muslimin. Bahkan, Zionis tidak mendapat manfaat material kecuali pada urusan transaksi kastam yang melibatkan visa sahaja. Baki sumbangan dan urus niaga, memberi manfaat kepada Muslimin terutama yang berada di dalam wilayah Palestin, al Quds khususnya.

Tentang sumbang maknawi, yang berupa sokongan moral dan lain lain tidak boleh diharamkan secara mutlak kepada semua yang menziarahi al Quds. 

Mereka yang menziarahi al Quds tanpa menyokong pencerobohannya oleh Zionis dan tanpa pengawasan, ataupun memasuki al Quds untuk aktiviti kemanusiaan dan bekalan bantuan terkeluar dari senarai yang diharamkan.

Maka adalah lebih sejahtera dengan tidak mengitlakkan pengharaman kepada semua Muslimin, sebaliknya menyatakan beberapa pengecualian seperti yang disebutkan.

Sesiapa sahaja berhak, untuk memasuki al Quds demi mengimarahkannya, bertemu sekalian Muslimin dari segenap penjuru dunia, beri'tikaf di Masjid al Aqsa, bertamu di Ramadhan dan sebagainya.

Hujah balas : 

Apa yang dinyatakan, pertama sekali adalah hujah yang di atas angin tanpa membumi pada realiti. Krisis al Quds tidak boleh dinilai pada sebahagian sudut sahaja tanpa memberi perhatian kepada sudut-sudut yang lain. Ia bukan semata mata isu kewangan atau ekonomi, ia berkaitan dengan strategi perjuangan pembebasan al Aqsa dan mempertahankannya dari penceronohan Zionis.

2. Ziarah Palestin atau al Quds tidaklah dikira sebagai normalisasi atau tunduk kepada penjajah, jika ziarah yang dilakukan tidak memaksudkan yang demikian. Adalah tidak absah untuk memberi satu hukum, kepada dua situasi yang berbeza.

Hujah balas :

isu normalisasi atau tunduk kepada penjajah berada di luar radar al ibadah al mahdhoh (Ibadah yang tulin) seperti solat, haji dan puasa yang banyak merujuk kepada amal Qalbi (isu hati) seperti ikhlas, riya', syirik dan sebagainya. 

Sebaliknya isu ini berkaitan hubungan antara manusia dengan manusia, di bawah pecahan Feqh al Mu'amalat. Ini menuntut kita untuk menyungkurkan akal ke realiti, mendalami hakikat sepak terajang dunia politik dan kemasyarakatan untuk menilai dan memberi keputusan dalam sesebuah masalah. Ziarah, dengan meminta izin dari penjajah tanah Muslimin menggambarkan normalisasi dan persetujuan terhadap apa yang dilakukan oleh penjajah, ia dinamakan at Tatbi'.

3. Aqidah Islam bukan sahaja mengarahkan al barra' (pemutusan) daripada penjajah sahaja bahkan terhadap kafir. Oleh itu, ini memberi makna bahawa ia tidak mengkhususkan hukum terhadap kafir di Palestin sahaja (dalam hal ini, Zionis) bahkan di seluruh dunia. 

Dari itu, kita fahami bahawa interaksi urus niaga antara Muslim dan Kafir adalah dibolehkan.

Hujah balas : Kafir terbahagi kepada tiga golongan, setiap satunya mempunyai kaedah interaksi yang berbeza-beza. Zionis di al Quds termasuk di bawah pengkelasan Kafir Harbi (Kafir yang bersifat memerangi)

Golongan Kafir Harbi inilah yang menjadi subjek pemboikotan. Ini dinyatakan oleh Imam an Nawawi apabila menghurai hadith mu'amalah Nabi s.a.w dengan Yahudi, "tetapi ummat Islam dilarang sama sekali berurus niaga dengan musuh yang sedang memerangi Islam"[1]

4. Ada sebuah persoalan yang sukar, apakah perbezaan menziarahi al Quds dan menziarah Andalusia? Sedang kedua-duanya berada dalam kategori ad Daulatu al Muslimah al Muhtallah (Negara Islam yang terjajah). Mengapa dibolehkan Andalusia, tetapi tidak pada al Quds?

Bagaimana dengan ratusan lagi negara yang wujud pasca penjajahan kolektif yang berlaku selepas perang dunia pertama dan kedua? bagaimana dengan Phattani? France? Ethiopia?

Hujah balas : Palestin, yang ternaung di bawahnya al Quds tidak seperti lain -lain wilayah Islam yang terjajah. Palestin masih lagi berada dalam tempoh awal penjajahan, Palestin masih berada di fasa jihad senjata dan perang.

Ini berbeza dengan Andalus, dan wilayah-wilayah lain Islam yang terjajah.

Andalus, hari ini bukanlah sebuah medan tempur jihad. Bahkan ummat barangkali sudah lupa bahawa Andalus adalah dahulunya sebuah wilayah Islam. Maka min bab al aula (lebih utama) untuk memberi kesedaran kepada seluruh ummat tentang tanah al maghnumah (harta jihad) ini, nilainya di sisi Islam dan sebagainya. Berbanding melaungkan kalimat jihad senjata sedangkan tiada siapa yang menyahutnya asbab kejahilan ummat akan kepentingan wilayah tersebut di sisi Islam.

Sebaliknya al Quds, ummah masih pedih dengan krisis pembunuhan dan pencerobohan terancang ini. ummah masih menghargai nilai al Quds dan masih siap menghafal catitan peristiwa, tarikh tarikh penting dan nas berkaitan al Quds. 

Kedua-duanya, Palestin dan Andalus mempunyai latar jihad yang berbeza. Maka mekanisma pembebasannya juga berbeza.


Kesimpulan

Meraikan pandangan adalah suatu lumrah, fitrah dan adab dalam memberi keputusan terhadap sesebuah kajian. Perbezaan yang berlaku adalah pada dos yang sederhana, tidaklah terlalu menghalalkan dan tidak pula terlalu mengharamkan. Kedua-dua pandangan pula, dilontarkan tanpa mengabaikan perjuangan pembebasan al Quds sebagai 'illatu al 'ilal (pusat rujukan tumpuan)

Dengan penuh rendah diri, saya tidak merajihkan mana-mana pandangan walaupun sangat cenderung kepada pandangan yang mengharamkan.

Pada hemat saya, menziarahi al Quds adalah haram dengan beberapa pengecualian, iaitu:

i. Penduduk asal Palestin yang bermuqim di luar Palestin, dan memasuki Palestin atas asbab ad dhorurah dan al hajah.

ii. Urusan-urusan kemanusiaan dan bantuan kecemasan.

iii. Di bawah bicara Siyasah Syar'iyyah, mana-mana tindakan memasuki al-Quds yang distrategikan untuk membebaskannya adalah boleh.

Izinkan saya untuk memberi sebuah tausiyah (wasiat) ringkas, agar kajian yang sederhana ini benar benar melahirkan penulisnya dan pembaca yang benar-benar komited dan beriltizam dalam perjuangan pembebasan al Quds.

i. Pembebasan al Quds bukan semata-mata untuk membebaskannya dari Zionis. Ia dinisbahkan sebagai manifestasi keimanan seorang Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi, kemudian Islam kembali memberi rahmahnya ke seluruh alam. 

ii. Membebaskan al Quds perlu dimulai dengan membebaskan diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Firman Nya mengajar kita bahawa sebuah perubahan hanya akan berlaku, apabila individu telah berubah.

iii. Membenci Zionis, perlu dituruti dengan mencintai Palestin. Kita menginsafi sikap sebahagian ummat Islam yang hanya rancak berdemonstrasi dan memaki musuh, tetapi gagal membuktikan cintanya terhadap perjuangan sendiri di peringkat rumahtangga, amal ibadah dan amal jariyah bersama masyarakat.

iv. Lazimi sikap memberi dan berkhidmah, dalam apa sahaja bidang yang diceburi. imanilah, bahawa tindakan pertama selepas tahu adalah memberi tahu.

v. Menegakkan kalimah Allah adalah sebuah tindakan yang cukup sukar, ia memerlukan ketumbukan kuasa yang besar. Untuk melaksanakannya, sunnah adalah rujukan utama kita.

Sunnah mengajar kita bahawa menegak kalimah Allah perlu dilakukan secara bersama, kolektif. ia dinamakan al 'amal al Jama'i, amal berorganisasi dan berstrategi.

Sertailah mana mana perjuangan Islam di sekitar anda, pilihlah mana yang paling hampir dengan iman anda. 

Semoga Allah s.w.t berkati dan memberi pahala serta kebaikan yang banyak atas usaha yang kecil ini. Tiada keinginan dari saya, kecuali al Islah (pembaikan) sehabis baik yang saya mampu. Tiadalah yang memberi at Taufiq, kecuali Allah s.w.t.

Wassalamullahi aleykum, wa rahmatuhu wa barakatuhu


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] An nawawi, fi Syarhi Sahih Muslim 11/40

Senarai rujukan umum :

1. al Munjid, fi al Lughah wa al I'lam
2. Yusuf al Qaradhawi, al Quds Qadhiyah Kullu Muslim
3. Yusuf al Qaradhawi, Feqh al Islami baina al Asolah wa at Tajdid
4. Raghib Sarjani, Falastin wajibatu Ummah
5. Hisham Fahmi al Arif, Ithafu al Anam bi Fadho'ilu Masjidi al Aqsa
6. Thariq Sweidan, Falastin at Tarikh al Musowwar
7. Qahtan Abdu ar Rahman ad Duri, Manahiju al Fuqaha' fi Istinbatu al Ahkam
8. Muhammad Imarah, al Quds as Syarif fi ad Din wa at Tarikh wa al Asatir
9. Manna' al Qattan, Tarikh at Tasyri' al Islami
10. Mahmud Syakir, at Tarikh al Islami
11. Abdur Ra'ouf Kharabsyah wa rifaqihi, Tahriru an Nuqul fi 'Ilm al Usul
12. Portal al Ittihad al 'Alami li 'Ulama al Muslimin http://www.iiumsonline.net
13. Portal Hai'at al 'Ulama Falastin fi al Kharij http://www.palscholars.com
14. Portal al Falastini lil I'lam http://www.palinfo.com

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 5/6

Perbahasan

Hujah ke atas pendalilan yang mengharuskan:

1. Qiyas ke atas ziarah Nabi s.a.w ke Makkah adalah Qiyas ma'a al fariq (Qiyas yang tidak bersatu sifatnya), kerana Quraisy bukanlah penjajah Makkah bahkan telah lama bermastautin di situ, Quraisy tidak datang dari pelbagai pelosok dunia dan menjajah Makkah. Ini sudah pasti, sangat bertentangan dengan Zionis yang telah menjajah dengan kejam, menghalau penduduk asal al Quds dengan paksaan dan zalim.

Dr Majdi Daud, dalam sebuah maqalah telah menggariskan beberapa hujah balas kepada qiyas yang dimaksudkan, antaranya [1]

i. Rasul s.a.w memasuki Makkah atas ibadah umrah tanpa pengetahuan Quraisy, tanpa izin Quraisy. Asalnya para Muslimin datang tanpa senjata tetapi Umar r.a mencadangkan agar senjata dibawa kerana mereka sedang menghadapi ahlu harbi (puak yang berperang). Nabi s.a.w mempersetujui cadangan Umar r.a. Ini membawa maksud, bahawa para Muslimin menuju ke Makkah dengan senjata untuk mempertahankan diri mereka. 

Hal ini berbeza, al Quds tidak mungkin diziarahi kecuali dengan izin pihak berautoriti, dengan transaksi kastam dan visa. Sudah pasti, apa sahaja barangan atau hak milik pelancong yang diragui atau berkemungkinan memudharatkan Zionis akan dirampas, bahkan pelancong itu sendiri dihalang masuk ke al Quds.

ii. Quraisy adalah penduduk asal Makkah, mereka pemastautin yang asal di situ. Ini memberi maksud, bahawa mereka punya hak kuasa dan autoriti terhadap sebarang urusan kenegaraan termasuklah kastam dan perundangan yang berkaitan keluar masuk pelancong.

Ini berbeza sama sekali dengan Zionis, mereka bukan penduduk asal al Quds. Mereka telah datang secara kolektif dari seluruh pelosok dunia, seraya menghalau keluar penduduk asal, menjajah dan merampas tanah, membunuh dan memperkosa serta merobek segenap sudut hak milik penduduk asalnya.

Ziarah al Quds, seakan akan adalah sebuah pengiktirafan terhadap tindakan mereka. Tidak syak lagi, bahawasanya ini adalah tindakan terkutuk dan jauh sekali harus dari timbangan sunnah. Ini adalah pengkhianatan secara halus terhadap Allah, Rasul Nya dan para Muslimin.

iii. Makkah bukanlah sebuah tanah milik Muslimin kecuali selepas peristiwa fathu Makkah (pembukaan Kota Makkah), oleh itu ziarah Rasul s.a.w dan para sahabat tidaklah dikira sebuah pengiktirafan terhadap autoriti mereka di tanah tersebut ketika itu. Rasul s.a.w tidak pernah mengiktiraf apa sahaja bentuk penguasaan jahiliyah terhadap Makkah.

Sebaliknya, mereka yang menziarahi al Quds telah mengiktiraf autoriti Zionis dan negara haram Israel. Mereka telah menjadi hujah kepada Zionis untuk terus berkuasa, sehingga Zionis menyatakan kepada seluruh dunia, "lihatlah Muslimin ini, al Quds di bawah penguasaan kami dan kami berhak memberi izin atau menghalang sebarang urusan keluar masuk ke negeri ini! Kami mengalu alukan sesiapa sahaja untuk menziarahinya"

Walhal, mereka dalam diam siap menghalang apa sahaja bentuk perancangan untuk meruntuhkan tembok kekuasaan mereka ke atas al Quds. Tidak akan masuk ke dalamnya kecuali para pendokong Zionis, dan para Muslimin yang pengecut.

iv. Rasul s.a.w bukan seorang yang lemah bahkan tegas dan berprinsip apabila bernegosiasi dengan wakil dari Quraisy, Rasul s.a.w mendesak agar Muslimin mendapat hak menziarahi Makkah sebagaimana seluruh bangsa Arab.

Inilah yang kita fahami, apabila menyelak peristiwa Bai'atu ar Ridhwan selepas itu yang telah menjadikan Quraisy tersentak lantas menghantar utusan untuk membuat memorendum persefahaman yang dinamakan Sulh al Hudaybiyah.

Apakah ini sama dengan mereka yang menziarahi al Quds yang dijajah? Apakah ini ketegasan para penziarah apabila mereka mendekati al Quds?

Bahkan, tidak.

v. Nabi s.a.w telah mengutus Uthman ibn Affan r.a untuk menyatakan hasrat Muslimin kepada Quraisy. Khabar pembunuhan utusan, Uthman r.a telah mengejutkan para Muslimin dan Nabi s.a.w sendiri. Serta-merta Nabi s.a.w menyeru para sahabat untuk berbai'ah (membuat perjanjian) untuk menuntut bela atas kematian Uthman r.a, kesemua sahabat telah menyertai perjanjian ini kecuali seorang munafiq. Kerana Nabi s.a.w dan rombongan sahabat r.anhum asalnya, hanya ingin melaksanakan ibadah umrah kemudian bertukar kepada ibadah jihad di sabilillah atas khabar angin kematian Uthman r.a.

Hari ini, Zionis telah bertindak menyembelih para Muslimin dan semua memaklumi angka dan statistik kematian yang tidak memasuki akal yang sejahtera. Zionis membunuh orang orang tua, dewasa, wanita, ibu ibu mengandung bahkan bayi yang baru lahir tanpa belas kasihan dan kemanusiaan.

Kemudian, segelintir kita mengatakan bahawa mereka ingin menziarahi al Quds kerana mereka menyayanginya?

vi. Rasul s.a.w apabial memasuki Makkah satu tahun selepas itu, Baginda s.a.w dan para sahabat r.anhum memasuki Makkah dengan segenap kekuatan dan keperwiraan. Persefahaman Hudaybiyah telah memberi keamanan kepada para Muslimin dan bangsa Arab keseluruhannya terutama dalam urusan beribadah di Masjid al Haram selama 10 tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, sebarang provokasi, pertentangan dan cubaan menyerang Muslimin adalah dilarang sama sekali.

Adakah ini serupa, dengan larangan Zionis terhadap pendudukan rakyat Palestin di tanah asal mereka? larangan masuk terhadap rakyat Palestin sendiri, misalnya Ra'id Salah dan beberapa pemimpin gerakan pembebasan al Quds?

2. Sebenarnya, memadailah memberi sokongan materi dan maknawi dengan medium sokongan yang lain, yang lebih produktif dan transparen tanpa syubhah. Ada pelbagai alternatif yang disediakan, antaranya melalui badan badan aktivisme pembebasan palestin yang rasmi. Antaranya, anda boleh memberi bantuan maknawi dengan menyebarkan kesedaran pembebasan al Quds, kempen-kempen berkaitan dan sebagainya.

Bahkan Khalid Mesy'al dan beberapa pimpinan gerakan pembebasan al Quds sendiri tidak mengharapkan bantuan materi, yang mereka harapkan adalah semua Muslimin terlibat membangunkan masyarakat dengan kesedaran Islam yang utuh di lokaliti masing-masing. 

3. Mereka yang menyatakan bahawa transaksi visa dan urus niaga yang berkaitan bersama Zionis tidak dikira pengiktirafan terhadap autoritian Zionis adalah bertentangan dengan hakikat dan realiti semasa.

Kita maklum, apa sahaja urusan diplomatik pada mana-mana skala dikira sebagai sebuah pengiktirafan. Baik dari pihak kerajaan, badan pertubuhan mahupun persendirian. Semuanya dikira sebagai sebuah pengiktirafan antara dua entiti. Apatah lagi meminta izin, visa dan transaksi keluar masuk negara.

4. Qiyas kepada penduduk asal Palestin dan penduduk yang bermastautin di Palestin atau al Quds adalah juga Qiyas ma'a al fariq (qiyas yang tidak bersatu sifatnya). Pada hal ini, kita berhadapan dengan Feqh ad Dhorurah (Darurat). Penduduk Palestin terpaksa bersosial dan melakukan aktiviti harian mereka dengan pengawasan dan perundangan yang dipolisikan oleh Zionis, baik dari urusan jual beli barangan dapur sehinggalah pendaftaran kelahiran anak.

Qaedah Fiqhiyah menyebut, "sesuatu urusan jika sempit, ia diluaskan", "darurat mengharuskan larangan"

Ia hanya terpakai kepada ahli darurat, dalam hal ini adalah penduduk asal Palestin dan pemastautin di dalam Palestin. Ia tidak valid kepada seluruh umat Islam, kerana mereka tidak berada di dalam situasi penjajahan total.

5. Tentang mendapat pahala pula, terlalu banyak alternatif lain yang bebas syubhah dan mafsadah berbanding menziarahi al Quds. Bahkan, menziarahi al Quds dengan niat sekadar melancong atau lebih teruk untuk menyokong secara langsung adalah dikira satu kesalahan yang nyata.


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] Dr Majdi Daud, Mafasid wa Makhatir Ziarat al Quds bi Ta'syirat as Shohyuniyah

Tuesday, June 3, 2014

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 4/6

Ziarah al Quds, dimensi feqh

Sepanjang penelitian saya yang lemah ini di pelbagai peringkat sumber maklumat, saya dapati hanya ada sebahagian kecil perbincangan dan penulisan artikel berkaitan ziarah al Quds, atau lebih tepat menziarahi al Quds di bawah penjajahan Zionis. Penulisan ilmiah pula amat terbatas, yang panas dan laku adalah sekadar menjawab pertanyaan wartawan akhbar tanpa menyertakan hujah dengan terperinci.

Bukan sahaja itu, bahkan tiada sebarang manuskrip bertaip atau warisan yang secara khusus membincangkan tentang tajuk kajian ini sedangkan peristiwa sama turut berlaku di era Abbasiyah dan Uthmaniyah apabila al Quds terjajah semula oleh Tentera Salib.

Sebelum lebih lanjut kepada dapatan maklumat dan analisis, berikut adalah latar masalah ziarah al Quds.

Permasalahan ini muncul sejak 45 tahun yang lalu apabila Anwar Sadat, Presiden Pertama Mesir bertindak menziarahi al Quds di samping menandatangani perjanjian Camp David 1977 yang menjadi titik tolak pengiktirafan entiti haram Israel. Ketika itu, Syaikh Abdul Halim Mahmud berperanan selaku Syaikhul Azhar dan beliau mengkritik sekerasnya tindakan Sadat tersebut. Selepas beliau, Syaikh Mutawalli Sya'rawi yang memegang jawatan yang sama telah turut mengkritik tindakan mana mana pihak yang menziarahi Palestin.

Sehinggalah pada tahun 2008, Mahmoud Abbas Perdana Menteri ke-tiga Palestin berucap dan menyatakan secara rasmi jemputan kepada seluruh ummah untuk menziarahi al Quds. Beliau telah berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Mempertahankan al Quds yang dianjurkan di Doha, Qatar. Ini bukanlah satu satunya seruan menziarahi al Quds bahkan ia telah berulang kali juga menjadi zikir sebahagian pihak baik di dalam atau di luar al Quds. Misalnya, oleh Menteri Wakaf Ramallah. Mufti Mesir yang terdahulu, Ali Jumu'ah dan Ali Jufri seorang da'ie Yamani antara yang menyahut seruan menziarahi al Quds.

Berlaku selepas itu, siri berbalas hujah dan kritikan yang berterusan dari pelbagai pihak.


Pandangan Para Ulama'

Telah jelas, umumnya para pemberi pandangan bolehlah dikelaskan kepada dua bentuk pandangan yang berikut:

kelas satu : Mengharamkan kecuali pada beberapa pengecualian, 

Antara yang termasuk dalam kelas ini adalah Yusuf al Qaradhawi, al Ittihad al 'Alami li Ulama' al Muslimin (Kesatuan Ulama' Muslimin Antarabangsa), Hai'ah Ulama' Falastin fi al Kharij (Himpunan Ulama' Pakestin di luar Palestin) dan Rabithah Ulama' Falastin (Kesatuan Ulama' Palestin)

kelas dua : Mengharuskannya secara mutlaq, 

Pendapat ini didatangkan oleh pelbagai ulama' bebas tanpa mengikatnya dengan mana mana pertubuhan dan persatuan, ia didokong oleh 'Ali Jumu'ah dan Ali Jufri, juga di dalam senarai adalah Mahmoud Abbas dan Zaqzouq, Menteri Waqaf Ramallah. Dikatakan dari sumber atas talian bahawa Ibn Baz turut menyokong pandangan ini tetapi saya tidak dapat akses kepada maklumat tersebut dari mana mana sumber yang jelas. 


Asbab Perbezaan Pandangan

i. Beza kaedah berinteraksi dengan nas berkaitan, ia dinamakan Feqhu an Nusus
ii. Beza pada semak timbang dalam menilai al maslahah dan al mafsadah
iii. Tidak wujud perbincangan dan rujukan ilmiah dari ulama' silam
iv. Tidak wujud nas as sohihah dan as sorihah, khusus tentang masalah ini


Penjelasan Istidlal

Kelas satu : Harus menziarahi al Quds 

i. Qiyas ke atas ziarah Rasulullah s.a.w ke Makkah yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Quraisy, telah maklum bahawa Quraisy adalah musuh Muslimin yang memerangi Rasulullah s.a.w dan risalahnya. Merekalah yang telah mengotori kawasan paling suci bagi seluruh ummah. Jika benar haram, mengapakah Rasulullah s.a.w menziarahi Makkah?

ii. Ziarah al Quds memberi dokongan dan sokongan materi dan maknawi terhadap rakyat Palestin khususnya pemastautin al Quds. Menziarahi mereka memberi kekuatan mental, seterusnya membantu perjuangan membebaskan al Quds.

iii. Sebagai sokongan moral terhadap krisis penjajahan ke atas Palestin, al Quds khususnya. Ia terhasil melalui bersatunya ummah, dengan menziarahinya seterusnya membuahkan cakna dan prihatin.

iv. Ziarah tidak bermaksud mengiktiraf negara haram Israel, bahkan sebaliknya menyatakan bahawa al Quds adalah milik Muslimin yang menziarahinya. Ziarah bererti melindunginya, dan mengimarahkannya dengan Muslimin mendominasi komposisi pelancong dan bukan sebaliknya.

v. Qiyas terhadap rakyat Palestin di dalam wilayah jajahan, di mana mereka keluar-masuk Palestin ke luar dan tidak ada sebarang ulama' yang mengharamkannya.

vi. Pahala dan ganjaran, ia bertepatan dengan hadith Rasulullah s.a.w, "Janganlah bersusah payah bermusafir kecuali ke tiga masjid ; Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan Masjid ini (an Nabawi)"[1]


Kelas dua : Haram menziarahi al Quds

i. Allah s.w.t menghalang Muslimin daripada menolong Kafirin dan berkerjasama dengan mereka untuk memusnahkan Islam. Firman Allah s.w.t, "berkerjasamalah kalian dalam ketaatan dan ketakwaan, dan janganlah berkerjasama dalam dosa dan perkelahian" al Maidah : 2. Ziarah ke Palestin melalui urusan visa atau sebarang transaksi kewangan memberi maksud kerjasama bersama Zionis baik secara langsung atau tidak untuk faedah materi. Begitu juga faedah maknawi, bahawasanya mereka punya autoriti untuk memberi kebenaran atau menghalang untuk memasuki al Quds.

ii. Proses Normalisasi dan tunduk kepada penjajah Zionis adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh majoriti ulama'. Sebarang urusan transaksi kewangan, visa dan yang berkaitan membawa kepada pengiktirafan kewujudan mereka, mengiktiraf kuasa dan entiti mereka di bumi Muslimin yang dijajah.

iii. Palestin yang terjajah, bukanlah dibebaskan melalui ziarah. Bahkan tuntutan sebenar adalah berjihad membebaskannya melalui pelbagai usaha di setiap peringkat. Boikot dikira sebagai salah satu usaha yang sangat baik, terutama dari mereka yang tidak dapat terlibat secara langsung dalam perjuangan membebaskan al Quds. Bukannya melutut meminta izin untuk menziarahi tanah sendiri.


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] al Bukhari, Muslim, Tirmizi

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 3/6

Sejarah al Quds

Sebuah proses at Ta'silu Feqhi (pengakaran feqh) tidak lengkap, kecuali dengan pemerhatian penuh pada latar masalah yang berkaitan. al Quds adalah sebuah nama laqabi (gelaran) terhadap Majis al Aqsa, yang bermaksud at Thuhr (suci). Maka al Ardhu al Muqaddasah bermaksud, Tanah yang Suci.

Sejarah adalah cerminan sebuah bangsa, menoleh untuk mengambil ibrah masa lalu, membumikannya pada waktu kini dan merencana untuk masa hadapan. Ruang yang terhad ini saya manfaatkan sekadar memberi gambaran umum tentang Palestin, sejarah pembentukannya dan krisis yang dihadapinya.

Berikut adalah ringkasan sejatah al Quds, lebih tepat Palestin [1];

120 S.M - Banu Israel memasuki bumi Kan'an
160 2.M - bina semula Haikal ke-dua
62 M - Rom menjajah al Quds
132 M - Percubaan menghancurkan al Quds dan bangsa Yahudi
638 M - Umar r.a membuka al Quds dan seluruh bumi Palestin
1099 M - Tentera Salib menjajah al Quds dan membunuh Yahudi dan Muslimin
1187 M - Salahuddin al Ayyubi membuka semula al Quds
1516 M - Palestin digabungkan dibawah kerjaan Uthmaniyah
1882 M - Hijrah pertama bangsa Yahudi ke Palestin
1897 M - Persidangan Yahudi pertama memutuskan untuk mendirikan sebuah negara Israel di tanah Palestin
1917 M - Perjanjian Belfour, pemahsyuran Negara Bangsa untuk Yahudi
1920 M - Mandat British ke atas Palestin
1929 M - Bangsa Arab bangkit dengan siri demonstrasi bantahan terhadap penjajahan Palestin
1945 M - Pengganas zionis memasuki kediaman pimpinan British di Hotel Malik Daud dan membunuh perantara UN
1947 M - UN bersepakat ke atas cadangan pemecahan tanah Palestin kepada tanah Yahudi dan Arab, Arab menolak cadangan tersebut
1948 M - Nakbah, lahir negara haram Israel secara rasminya 
1949 M - Penghapusan etnik dan menghalau keluar penduduk Palestin ke luar negara haram Israel
1956 M - Pertembungan tiga-penjuru (krisis Suez), tentera Israel menguasai Sinai
1964 M - Penubuhan Gerakan Pembebasan Palestin (PLO)
1967 M - Israel memenangi perang enam hari atau Naksah
1968 M - Penubuhan Gerakan Pembebasan Palestin (PFLP)
1969 M - Yasir Arafat dilantik sebagai pengerusi PLO yang pertama
1970 M - Perang Atrisi antara Israel dan Mesir
1971 M - Black September organisasi yang membunuh Wasfi at Tal Perdana Menteri Jordan 
1973 M - Perang Yom Kippur antara Israel-Mesir-Syria
1974 M - Yasir Arafat muncil kali pertama dan berucap dalam persidangan UN 
1977 M - Perjanjian Camp David antara Mesir yang diwakili presidennya Anwar Sadat bersama Israel
1987 M - Intifadhah pertama
1991 M - Perang Teluk ke-dua, Persidangan Keamanan di Madrid
1993 M - Perjanjian Oslo ditandatangani di White House
1996 M - Yaser Arafat dilantik sebagai presiden Palestin 
1998 M - Arafat dan Netanyahu menandatangani memorendum Sungai Wye
1999 M - Ehud Barak menandatangani memorendum Sungai Wye ke-dua
2000 M - Intifadhah ke-dua
2001 M - Sharon dilantik sebagai Perdana Menteri, beberapa bandar Palestin dibom demi membalas operasi pengebom berani mati dari warga Palestin
2004 M - Kematian Yasir Arafat, Mahmoud Abbas dilantik sebagai presiden Palestin (pecahan tebing barat)
2005 M - Pembunuhan Bayt Lahiya, pilihanraya legislatif
2006 M - HAMAS memenangi pilihanraya legislatif, penculikan Gilad Shalit, penyembelihan Bayt Hanun
2008 M - Peristiwa serangan ke atas wilayah Gaza, 'Aka dan al Khalil
2009 M - Pertembungan darat ke atas Gaza, Zionis keluar dari wilayah Gaza, bermula episod pertembungan baru Zionis ke atas Gaza
2012 M - Peristiwa Hijaratu as Sijjin (batuan neraka) atau Operasi Pillar of Cloud, Presiden Mesir semas Mohd Morsi menjadi perantara untuk persefahaman Gaza-Israel


Kedudukan al Quds di sisi Islam

al Quds, di sisi iman para Muslimin punya kedudukan yang terlalu istimewa. al Quds dikira sebagai pusat pertembungan antara tiga agama langit, Islam, Yahudi dan Nasrani. Bagi para Muslim, amat penting untuk kita meneliti nas nas berkaitan al Quds. Penguasaan yang nihil tentang nas adalah sebuah keniscayaan dalam perbahasan krisis al Quds.

pertama : Kiblat Pertama 

al baqarah : 150

Ayat ini diturunkan selepas 16 tahun peristiwa Hijrah Muslimin ke Madinah. Ia memberi arahan kepada Muslimin untuk mengalihkan kiblah mereka, dari Masjid al Aqsa ke Ka'bah.

al Barra' bin Ghazib r.a telah menceritakan bahawa, "kami telah solat bersama Rasulullah s.a.w menghadap Masjid al Aqsa selama 16 atau 17 bulan kemudian beralih ke Ka'abah"[2] 

kedua : Bumi Isra' dan Mi'raj

"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha mendengar lagi Maha melihat" al Isra' : 1

Allah s.w.t telah berkenan menjadikannya destinasi akhir, ekspedisi Isra' dan titik mula Mi'raj yang dilalui baginda s.a.w. Telah bertemu para Rasul dan Anbiya' seraya solat berjemaah dengan berimamkan baginda s.a.w.

Ia adalah tapak perlepasan Nabi s.a.w ke Sidhratul Muntaha. Anas bin Malik telah meriwayatkan, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda, "aku telah didatangi Buroq (haiwan putih, lebih tinggi dari keldai dan tidak lebih dari baghal), aku telah menungganginya sehingga tiba di Baytul Maqdis. Aku telah mengikatnya dan aku memasuki Masjid dan bersolat di dalamnya dua raka'at. Kemudian aku keluar dan Jibril a.s mendatangiku dengan dua bekas air, khamr (arak) dan laban (susu) maka aku telah memilih susu. Jibril a.s berkata : engkau telah memilih fitrah. Kemudian aku dimi'rajkan ke langit"[3]

ketiga : Kota Agung yang Ketiga

Allah s.w.t telah memberi kemuliaan ke atas Kota Makkah al Mukarramah dengan ada padanya Masjid al Haram justeru mengiktirafnya selaku Kota pertama Islam, di kedudukan ke-dua adalah Kota Madinah yang mulia dengan adanya Masjid an Nabawi, padanya juga dimaqamkan jasad Nabi s.a.w. Kota al Quds adalah selepas keduanya, Allah s.w.t telah memuliakannya dengan Masjid al Aqsa.

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan dari Abi Sa'ed al Khudhri r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda, "Janganlah bersusah payah bermusafir kecuali ke tiga masjid ; Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan Masjid ini (an Nabawi)"[4]

Antaranya juga Nabi s.a.w bersabda, "keutamaan solat di Masjid al Haram ke atas selainnya adalah sebanyak 100 ribu solat, di Masjid an Nabawi sebanyak 1000 solat dan di Masjid al Aqsa sebanyak 500 solat"[5]

Abu Dzar r.a telah berkata, aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w tentang masjid pertama yang dibina di muka bumi dan baginda s.a.w telah menjawab, "Masjid al Haram" kemudian aku berkata, selepas itu? Nabi s.a.w bersabda, "Masjid al Aqsa" aku berkata, berapa tempoh masa antara keduanya? sabda baginda s.a.w, "40 tahun, dan jika tiba waktu solat maka sembahyanglah"[6]

keempat : Bumi para Anbiya' dan Barakah

"Demi Tin dan Zaitun, Demi Tursina, dan negeri yang aman ini" at teen : 1-3

Ibnu Katheer di dalam tafseernya yang masyhur, telah menghurai ayat ini dengan menyatakan, "telah berkata sebahagian para Imam: ini adalah tiga pusat kelahiran para Anbiya' dalam kalangan uli al 'azmi, penanggungjawab risalah terbesar. Pertama: tanah Tin dan Zaitun, ia adalah Baytul Maqdis. Telah lahir di atasnya, Isa ibn Maryam a.s. Kedua: Tursina, tempat Allah melantik Musa bin Imran a.s. Ketiga: Baladu al Amin, siapa yang memasukinya menjadi aman. Jelaslah pada kita melalui penafsiran ini, di Baladu al Amin telah lahir risalah Muhammad s.a.w, di Tursina telah lahir Yahudi melalui risalah Musa a.s, manakala Tin dan Zaitun adalah tempat lahir risalah Isa a.s"[7]

Allah s.w.t telah memberi isyarat kemuliaan tanah ini melalui lima tempat berikut dari Quran;

"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha mendengar lagi Maha melihat" al Isra' : 1

"Dan Kami selamatkan dia (Ibrahim) dan Lut ke negeri yang telah kami berkati untuk seluruh alam" al Anbiya' : 71

"Dan Kami wariskan kepada kaum yang tertindas itu, bumi bahagian timur dan bahagian baratnya yang telah kami berkati" al A'araf : 137

"Dan untuk Suleiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami berkati padanya" al Anbiya' : 81

"Dan Kami jadikan antara mereka dan negeri yang kami berkati, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu perjalanan. Berjalanlah kamu di negeri-negeri itu pada malam dan siang hari dengan aman" Saba' : 18

Kesemua ayat ini merujuk terus kepada Baytul Maqdis, Tanah Syam dan Palestin malah seluruh ulama' telah bersepakat ke atas tafsiran tersebut.

kelima : Bumi Jihad

Bumi Tin dan Zaitun, al Quds telah menjadi saksi siri jihad dan perjuangan sepanjang sejarah. Umar r.a telah menjadi sosok pertama yang membuka semula al Quds kemudian mengembalikannya kepada Islam, beliau r.a telah tiba di al Quds dalam sebuah peristiwa bersejarah dan menerima kunci Kota al Quds. Ketika itu, Memorendum Umariyah telah dipersetujui di antara Umar r.a dan penduduk asal al Quds.

Tentera Salib telah bertindak ganas merampas tanah ini selepas itu. 100 tahun kemudian, Allah s.w.t telah memilih Salahuddin al Ayyubi selaku pembuka semula al Quds pada era Abbasiyah. 

Sehingga hari ini, al Quds terus bersaksi dan akan kekal bersaksi sehinggalah hari kiamat bahawa di atasnya telah terkorban para parajurit dan negarawan, telah terluka para mujahidin ummah sepanjang zaman. Ia popular, sebagai al Ardhu al Jihad wa ar Ribath (Bumi Jihad dan Perjuangan).

Sabda baginda s.a.w, "Akan sentiasa ada segolongan dari ummatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barang siapa cuba menghampakan mereka, tidak sekali-kali dapat melukakan mereka mahupun oleh kesusahan yang menimpa mereka sehinggalah datang keputusan Allah dan mereka tetap sedemikian"[8] 


Geopolitik al Quds

al Quds atau Baytul Maqdis (Hebrew: Our Sylem) merupakan kota terbesar di Palestin. Israel, dengan dokongan polis dunia telah meletakkan kota ini sebagai ibu kota mereka. Para pejuang dan bangsa Palestin tidak pernah berhenti melaungkan bahawa Baytul Maqdis akan hanya menjadi hak milik Palestin, walau apapun senario dan rencam politiknya.

Kota al Quds terletak di kawasan tengah Palestin, timur kepada Laut Mediterranian di samping banjaran bukit bukau yang melunjur ke barat dan timur. al Quds berkedudukan 750 meter dari paras Laut Mediterranian, 1150 meter dari paras Laut Mati. al Quds berada pada koordinat 35 darjah dan 13 minit ke timur pada jenjangan longitud, dan 31 darjah 52 minit ke utara pada jenjang latitud. al Quds berada 52 km dari Laut Merah. 

Asalnya, ia berada pada tenggara Bukit Muria. Barangkali penduduk asalnya berkehendak untuk bermuqim pada kawasan ini atas sebab kedudukannya yang berada di pertengahan antara tiga perbentangan: Lembah Qadrun di timur, Lembah Hanum di selatan dan Lembah Tyropoeon di barat. Juga atas sebab terkumpulnya mata air, sebagai asas kehidupan masyarakat.

al Quds, secara politik adalah tanah yang dijajah dan berbeza beza batasnya saban tahun dan saban peristiwa. Faktor terutama yang menyumbang kepada krisis ini adalah operasi pengyahudian Palestin. Selepas peristiwa Nakbah, Israel telah berupaya mendominasi 40% dari keseluruhan tanah Palestin. Selepas Oslo, wajah Palestin menjadi lebih muram dengan penguasaan 90% Israel ke atas tanah suci Palestin. Kerjaan Palestin telah terpecah kepada dua pusat pemerintahan, Tebing Barat dan Gaza.[9]


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] Thoriq Sweidan, Falastin at Tarikh al Musowwar m/s 13
[2] al Bukhari dan Muslim, Ahmad dan an Nasa'ie
[3] Muslim, Ahmad dan Abu Ya'la
[4] al Bukhari, Muslim, Tirmizi
[5] al Bazzar : sanadnya hasan, al Haithami di Majma'u az Zawaid
[6] al Bukhari, Muslim, Ahmad, an Nasa'ie, Ibn Majah dan Abu Daud
[7] Yusuf al Qaradhawi, al Quds Qadhiyah Kullu Muslim m/s 12
[8] Ahmad, Abu Daud, al Hakim dan Tabarani, al Hakim : sahih
[9] Um 'Ammarah, al Quds as Syarif ta'rif wa tarikh

#KAJIAN : ZIARAH AL QUDS 2/6

Feqh, Prinsip Asas

Bahasa dan Istilah :

Feqh dari sudut Bahasa, membawa erti al fahmu.

"Mengapakah orang orang itu (Munafiq) hampir hampir tidak memahami" An nisa' : 78

"Barangsiapa yang Allah kehendakkan untuknya kebaikan, Allah akan memberikan dia kefahaman dalam agama" [1]

al Jurjani, di dalam at Ta'rifaat menyebut : al Feqh pada bahasa bermaksud memahami kehendak seseorang pada apa yang dibicarakan [2]

Feqh, dari sudut Istilah pula memberi dua permaknaan dalam dua dimensi nilaian yang berbeza.

Makna 'Idhafi (Kata Majmu') : Ilmu mengenai hukum syara' amali yang diambil dari dalil dalilnya yang jelas [3]

Makna Laqabi (Gelaran) : Ilmu mengenai asas-asas (kaedah) yang berhubungan terus untuk menentukan hukum dari dalil dalilnya yang terperinci [4]

Dalam disiplin ilmu Feqh, kita tidak menafikan fleksibeliti, pembangunan dan pembaharuan dalam menghadapi masalah-masalah baharu terutama yang tiada sandaran dalam secara terus atau khusus dari sumber pendalilan utama Islam, Quran dan Sunnah. Saya seirama dengan Umar al Faruq apabila menyampaikan risalahnya yang terkenal itu kepada Abi Musa al Asy'ari seraya menyebut, "Fahamilah apa yang diajukan kepadanya yang tiada dari Quran dan Sunnah, qiaskan masalah itu dengan apa yang engkau kuasai, ketahuilah al amthal (penyerupaan) dan al asybah (penyepadanan), putuskan sebagaimana yang paling disukai Allah s.w.t dari apa yang engkau yakini, dan yang paling hampir dengan al Haq" [5]

Telah maklum, bahasa nas nas Quran dan Sunnah tidak diwariskan kepada kita dengan membahaskan tentang setiap perkara yang terperinci, as Syatibiy telah menyatakan, "Syari'ah tidak menaskan setiap perkara yang rinci, Syari'ah datang dengan prinsip-prinsip yang al kulliyah (umum) dan mutlaq. setiap perincian itu mempunyai sukat timbang yang berbeza antara satu sama yang lain" [6]

Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah telah menjelaskan, "barangsiapa yang berkata: pada masalah ini tiada nas Sunnah dan tiada nas Quran, ini adalah asbab kejahilannya. Quran dan Sunnah telah menggariskan prinsip-prinsip yang umum, yang dibawahnya telah merangkumi. setiap sifat umum sesuatu masalah telah dinyatakan di dalam Quran dan Sunnah" [7]

Tidak dinafikan proses pembangunan dan pembaharuan dalam istinbat sesuatu hukum seiring permodenan konteks. Kerana Feqh dan Syari'ah, umumnya bertujuan merealisasikan kesejahteraan sekalian makhluk di dunia bahkan di akhirat [8]. Syari'at pada dimensi yang syumul dilihat sebagai, semua yang disyari'atkan Allah s.w.t pada hambanya, baik Aqidah, Ibadat, Akhlak, Muamalah, Perundangan Sosial pada setiap strata masyarakatnya yang majmuk untuk menyelia urus hubungan makhluk dengan tuhan, justeru makhluk sesama makhluk. 

Ini membawa kita untuk lebih teliti dalam berinteraksi dengan al Feqhu al Waqi' (realiti), al Feqhu at Tawaqqu' (kemungkinan), as Siyasah as Syar'iyah (politik), al Feqhu at Taghyir (perubahan) terutama dalam mendepani permasalahan-permasalahan moden.


Khubaib Akhi
Feqh wa Usuluhu, Universiti Yarmouk Jordan
disempurnakan dalam Bahasa Arab pada 11 Disember 2013
dialih bahasa ke Bahasa Melayu pada 4 Jun 2014


_________________________________________________

[1] al Bukhari dan Muslim
[2] al Jurjani, at Ta'rifat 1/168
[3] Abdur Raouf Kharabsyah, at Tahriru an Nuqul fi Ilmu al Usul 1/9
[4] Ibid 1/12
[5] Ibnu Qayyim al Jauziyyah, I'lam al Muaqqi'in 1/68
[6] as Syatibi, Muafaqat 4/91
[7] Ibnu Taymiyah, Majmu' Fatawa 34/206
[8] Manna' Qattan, Tarikh at Tasyri' al Islami  m/s 13